Pemilik premis boleh guna pelekat tulisan jawi

A
A

KUANTAN – Pemilik premis perniagaan di daerah ini tidak perlu risau dengan arahan pelaksanaan papan tanda tulisan jawi kerana boleh menggunakan pelekat pada papan sedia ada.

Pegawai Perhubungan Awam, Norkamawati Kamal berkata, Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) amat bertolak ansur dalam setiap perubahan yang hendak dibuat, kerana itulah terdapat beberapa kaedah alternatif yang disenaraikan dalam garis panduan pelaksanaan tulisan jawi tersebut.

Menurutnya, surat pekeliling mengenai pelaksanaannya sudah diedarkan kepada lebih 13,000 pemilik premis di daerah ini.

“MPK boleh bertolak ansur. Bukan keseluruhan papan tanda kena tukar. Bagi papan sedia ada, memadai hanya menampal pelekat di bahagian papan tanda sedia ada.

“Namun bagi perniagaan atau premis baharu, mereka perlu ikut garis panduan yang telah ditetapkan. Garis panduan yang disediakan adalah mengikut kategori kedai itu dan akan dimuat naik menerusi laman sesawang MPK, www.mpk.gov.my,” katanya.

Norkamawati berkata, arahan pelaksanaan ini dibuat adalah bagi menyahut titah Yang Dipertuan Agong, Al Sultan Abdullah Riayatuddin Al Mustafa Billah Shah ibni Sultan Ahmad Shah dalam memartabatkan tulisan jawi.

Menurutnya, pada masa ini daerah lain belum menguatkuasakannya, oleh itu MPK mengambil pendekatan menjadikan Kuantan sebagai bandar utama yang membuat pendekatan memartabatkan tulisan jawi pada papan tanda premis perniagaan.

“Pelaksanaan penulisan papan tanda jawi bermula 1 Ogos ini. Dalam tempoh Ogos hingga Disember, penguatkuasaan berbentuk pendidikan akan dilaksanakan bertujuan memberi kefahaman terhadap garis panduan terkini.

“Tindakan kompaun atas kesalahan melanggar syarat lesen mengikut Undang Undang Kecil Lesen hanya akan dikuatkuasakan bermula 1 Januari 2020,” katanya.

Beliau berkata, bagi setiap kesalahan, kompaun dikenakan adalah sehingga RM250 sehari dan boleh juga dihadapkan ke mahkamah dan tarik lesen perniagaan.

Bagaimanapun katanya, arahan ini adalah tertakluk kepada kategori perniagaan berlesen sahaja termasuk pejabat pengurusan NGO.