'Black' tak mengaku bakar rumah kekasih

Black yang didakwa membakar rumah kekasihnya dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Sungai Petani,hari ini.
A
A

SUNGAI PETANI - Seorang pekerja kedai makan mengaku tidak bersalah membakar rumah kekasihnya yang merupakan isteri orang di Mahkamah Sesyen Sungai Petani, hari ini.

Mohamad Khairul Imman Saaidin, 24, atau dikenali sebagai Black didakwa melakukan khianat dengan menyebabkan kemusnahan rumah milik suami kepada kekasihnya.

Perbuatan itu dilakukan di Taman Desa Aman, Sungai Lalang, Bedong pada 15 April lalu, kira-kira jam 5 pagi.

Tertuduh didakwa bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nordiyanasari Omar tidak menawarkan jaminan kerana bimbang tertuduh akan mengganggu pengadu dan saksi pendakwaan.

Tertuduh bagaimanapun merayu agar dibenarkan jaminan kerana mahu bekerja untuk menyara keluarga.

Bagaimanapun, Hakim N Priscilla Hemamalini membenarkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 21 Mei depan sebagai sebutan semula kes.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret 2 tertuduh didakwa melakukan ugutan jenayah kepada suami kekasihnya bertempat di alamat sama pada 25 Mac lalu, kira-kira 1.30 pagi.

Tertuduh turut berdepan Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, Majistret Arif Mohamad Shariff membenarkan jaminan sebanyak RM5,000 dan seorang penjamin selain menetapkan 9 Mei ini sebagai tarikh serahan dokumen.

Sebelum itu, di Mahkamah Majistret 3, Black mengaku salah memiliki kad pengenalan kekasihnya dalam simpanan menyebabkan dia telah melanggar Peraturan 25(1)(o) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 dan boleh dihukum bawah peraturan sama.

Majistret Nadhirah Abdul Rahim menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM2,600 atau lima bulan penjara jika gagal membayar bagi kesalahan itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki bakar rumah kekasih, bengang hubungan dihalang


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia