Melaka teruskan kemudahan Kampung Buku

Adly ketika menyampaikan hadiah kepada kumpulan pelajar yang menang ketika menyertai kempen itu.
Adly ketika menyampaikan hadiah kepada kumpulan pelajar yang menang ketika menyertai kempen itu.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Kerajaan Melaka akan menilai semula agensi di bawahnya untuk menyambung kesinambungan menguruskan Kampung Buku yang terletak di Taman Botanikal, Ayer Keroh, di sini.

Ketua Menterinya, Adly Zahari berkata, kemudahan diwujudkan pada tahun 2007 itu sebelum ini diuruskan Kumpulan Melaka Berhad (KMB) dan pihaknya belum memutuskan sama ada agensi sama perlu terus menguruskan semula atau sebaliknya.

"Memang kampung buku itu sekarang ini kita sedang menilai, sebelum ini ia di bawah KMB, kita sedang membuat perbincangan untuk melihat kembali keperluan-keperluannya supaya menjadi tempat pembacaan.

"Saya rasa konsepnya baik, tetapi mesti mempunyai banyak inisiatif untuk menarik lebih ramai orang membaca cuma belum ada dimuktamadkan pihak yang akan menguruskan semula," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Kempen Jom Baca Bersama Untuk 10 Minit yang turut disertai 100 pelajar dan guru di negeri ini di Dewan Tuah, Perbadanan Perpustakaan Awam (Perpustam) di Bukiut Baru di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Wanita, Pembangunan Keluarga dan Hal Ehwal Kebajikan, Ginie Lim Siew Lin dan Pengarah Perpustam, Mohamed Aizammuddy Mohamad Idris.

Menurutnya, setakat ini operasi Kampung Buku di kawasan hutan simpan berkenaan akan diteruskan dan tidak akan dihentikan.

"Lokasi yang terdapat pelbagai jenis buku ini sewajarnya diberikan perhatian supaya fungsinya dapat diperkasakan selain memastikan ia terus dikunjungi dan dapat membudayakan semangat membaca dalam kalangan rakyat negeri ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Adly (tengah) selepas menjayakan program jom baca bersama untuk 10 minit di Dewan Tuah, Perpustam di Bukit Baru di sini, hari ini.
Adly (tengah) selepas menjayakan program jom baca bersama untuk 10 minit di Dewan Tuah, Perpustam di Bukit Baru di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Adly berharap usaha untuk menjadikan tempat rekreasi sebagai medium memupuk budaya membaca itu dapat direalisasikan dengan mewujudkan ruang membaca.

"Saya juga sudah meminta Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) mengenal pasti kawasan tambak laut di negeri ini supaya tidak hanya mempunyai komponen taman rekreasi namun turut disediakan ruangan membaca oleh pemaju.

"Salah satu komponen penting taman rekreasi itu ruang membaca, di samping model kawasan riadah dan untuk keluarga, namun mesti ada ruang-ruang pembacaan," katanya.

Sinar Harian difahamkan, terdapat dua lokasi Kampung Buku Malaysia iaitu di Melaka dan Langkawi, Kedah.