24,800 hektar tanah diteroka secara haram di Perak

Ahmad Faizal menjelaskan mengenai penerokaan tanah di Perak ketika menggulung perbahasan Sidang DUN Perak, hari ini.
A
A

IPOH - Kerajaan Perak mendedahkan terdapat 24,800 hektar tanah milik kerajaan negeri dan badan-badan berkanun negeri yang diteroka secara haram.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, tanah yang diteroka secara haram itu melibatkan kategori pertanian, perusahaan dan bangunan.

Menurutnya, pencerobohan haram itu menjadi penghalang kepada kerajaan negeri dalam melaksanakan agenda menarik pelaburan bagi mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat.

"Pelaburan-pelaburan ini sepatutnya mewujudkan peluang pekerjaan yang mampu memberikan impak besar kepada aktiviti ekonomi, rakyat dan negeri Perak, tetapi berdepan dengan masalah akibat kegagalan pentadbiran sebelum ini mengambil tindakan yang sepatutnya.

"Bagi menyelesaikan masalah ini, kerajaan negeri telah menubuhkan Jawatankuasa Khas Penyelesaian Setinggan dan Usaha Haram Negeri Perak bagi menyelesaikan isu ini," katanya ketika menggulung perbahasan Titah Diraja sempena Sidang DUN Perak, di sini hari ini.

Ahmad Faizal berkata, kerajaan negeri baru-baru ini berjaya meyakinkan Kossan Rubber Industries Bhd untuk membuat pelaburan sebanyak RM1.5 bilion bagi membangunkan Bandar Integrasi Sarung Tangan di Mukim Bidor.

Katanya, pelaburan tersebut mampu mewujudkan peluang pekerjaan yang mampu memberikan impak besar kepada aktiviti ekonomi di kawasan Bidor.

Beliau berkata, segala usaha itu bagaimanapun terbantut akibat masalah penerokaan haram itu masih belum dapat diselesaikan sejak pentadbiran terdahulu.

Katanya, langkah itu bertepatan dengan titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang menyentuh mengenai aktiviti penerokaan tanah secara haram.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia