Adly pandang serius tiga beradik tak bersekolah

Laporan Sinar Harian kelmarin.
Laporan Sinar Harian kelmarin.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari menggesa Majlis Perwakilan Komuniti Kampung (MPKK) memperhebatkan dan memperluaskan peranan mengenal pasti anak-anak negeri ini yang tidak bersekolah.

Adly berkata, pihaknya memandang serius isu anak-anak yang tidak bersekolah kerana pendidikan antara aspek penting sentiasa diberi perhatian kerajaan negeri sejajar dengan Akta Pendidikan Negara.

"Tidak dinafikan ada pelajar di negeri ini yang tidak sekolah dan MPKK serta Jabatan Pendidikan boleh bekerjasama termasuk dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk memberikan kaunseling kepada mereka yang terlibat.

"Saya lihat isunya berpunca dari dalam keluarga atau masalah rumah tangga dan agensi agama Islam juga perlu berperanan untuk memberikan kaunseling kepada mereka," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Melaka, Norazlee Sulaiman berkata, masalah dokumentasi membabitkan lima beradik di Kampung Paya Lebar, Masjid Tanah termasuk tiga daripada menyatakan hasrat untuk ke sekolah akan diselesaikan dalam masa terdekat ini.

"Sebenarnya kita telah turun padang dua minggu lalu dan mengambil maklumat, memang benar ibunya warganegara Malaysia dan masalah dokumentasi mereka kini di peringkat akhir penyelesaian.

"Kita juga menjangkakan dapat menyerahkan MyKid kepada remaja berkenaan pada bulan ini selain surat beranak untuknya dan adik-adiknya," katanya.

Sinar Harian sebelum ini menyiarkan tiga daripada lima beradik menyuarakan hasrat untuk ke sekolah namun terpaksa melupakan impian itu disebabkan tiada sebarang dokumen surat beranak kerana kegagalan ibu mereka mendaftarkan kelahiran.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: 'Adik-adik selalu tanya bila boleh ke sekolah?'