Kerajaan Sri Lanka minta maaf

No Image Caption
A
A
A

COLOMBO - SRI LANKA. Perbalahan antara presiden dan perdana menteri Sri Lanka yang mencetuskan krisis politik di negara itu didakwa menjadi punca kerajaan gagal menangani amaran awal tentang serangan ganas yang meragut lebih 300 nyawa pada Ahad lalu.

Perdana Menteri, Ranil Wickremesinghe dikatakan tidak dimaklumkan tentang laporan agensi risikan asing bertarikh 11 April yang memberi amaran awal tentang serangan ke atas gereja oleh kumpulan militan tempatan, National Thawheed Jama'ut (NTJ).

Wickremesinghe disisihkan daripada sebarang taklimat risikan sejak beliau tidak lagi sehaluan dengan Presiden Maithripala Sirisena.

"Apabila kami bertanyakan beliau tentang laporan risikan itu, perdana menteri langsung tidak tahu menahu tentang perkara tersebut kerana beliau tidak lagi dijemput untuk menghadiri mesyuarat majlis.

"Bagi pihak kerajaan, kami memohon jutaan maaf kepada keluarga mangsa dan institusi mereka berhubung kejadian tersebut," kata Menteri Kesihatan, Rajith Senaratne.

Hubungan antara Sirisena (kiri) dan Wickremesinghe dikatakan masih belum pulih hingga kini.
Hubungan antara Sirisena (kiri) dan Wickremesinghe dikatakan masih belum pulih hingga kini.

Ahad lalu, anggota Majlis Keselamatan gagal hadirkan diri selepas Wickremesinghe memanggil mesyuarat tergempar susulan insiden serangan berdarah tersebut yang menyasarkan beberapa gereja dan hotel terkemuka di negara tersebut.

"Ini adalah pertama kali dalam sejarah menyaksikan anggota Majlis Keselamatan enggan menyertai mesyuarat bersama perdana menteri," ujar Senaratne lagi.

Artikel Berkaitan:

Kelmarin, Wickremesinghe menghadiri mesyuarat majlis buat pertama kali bersama Sirisena selepas beliau kembali daripada lawatan di luar negara.

Oktober lalu, Sirisena memecat Wickremesinghe atas perbalahan politik, namun jawatannya dikembalikan beberapa minggu kemudian selepas berdepan tekanan daripada Mahkamah Agung.

Sehingga kini, hubungan antara mereka masih belum pulih dan perbezaan pendapat memberi kesan kepada keputusan kerajaan.

Ketika ini, kerajaan terus menuding jari menyalahkan NTJ sebagai dalang insiden keganasan tersebut yang didakwa mendapat bantuan pihak asing untuk melancarkan siri serangan bom tersebut. - Agensi