UniSZA lunas bayaran premium tanah RM183j

Naib Canselor UniSZA, Prof Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan (dua dari kanan) menyerahkan replika cek kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk A Rahman Yahya sambil disaksikan Dr Ahmad Samsuri di Wisma Darul Iman, hari ini.
Naib Canselor UniSZA, Prof Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan (dua dari kanan) menyerahkan replika cek kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk A Rahman Yahya sambil disaksikan Dr Ahmad Samsuri di Wisma Darul Iman, hari ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) melunaskan kesemua bayaran premium sebanyak RM183,240,878 bagi empat lot tanah di kampus Gong Badak kepada Kerajaan Terengganu.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, penyerahan cek terakhir ialah bayaran berjumlah RM55,021,070 bagi 20.983 hektar tanah lot di mukim Batu Rakit dilakukan hari ini.

“Cek yang terakhir daripada jumlah keseluruhan adalah bayaran bagi tapak tanah UniSZA Kampus Gong Badak apabila bertukar daripada Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KuSZA) kepada UniSZA dan diambil Kementerian Pendidikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Penyerahan Premium Tanah Kampus Gong Badak kepada Kerajaan Terengganu di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.

Menurutnya, pembayaran bagi keseluruhan premium tanah itu dibuat sebanyak empat kali.

“Bayaran kali pertama dibuat pada awal November 2016 dengan jumlah sebanyak RM71,101, 880 bagi 101.765 hektar tanah di mukim Kuala Nerus.

“Pada 24 April 2018, UniSZA membuat bayaran menerusi dua cek dengan jumlah RM2,103,088 bagi 0.704 hektar tanah di mukim Batu Rakit dan RM55,014,840 bagi 17.755 hektar tanah di mukim Batu Rakit,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri mengucapkan terima kasih atas komitmen yang ditunjukkan UniSZA dan wang itu akan dimanfaatkan sebaiknya.

Artikel Berkaitan:

“Wang ini akan dimasukkan ke dalam akaun yang disatukan dan kerajaan negeri akan memanfaatkan kepada negeri dan seluruh rakyat,” katanya.