DUN Perak lulus usul kutuk serangan pengganas

Howard Lee Chuan How
Howard Lee Chuan How
A
A
A

IPOH - Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini sebulat suara meluluskan usul mengutuk serangan pengganas di Christchurch, New Zealand dan serangan bom di beberapa lokasi di Sri Lanka.

Usul berkenaan dikemukakan Exco Pembangunan Belia dan Sukan, Howard Lee Chuan How dan dibahaskan kira-kira 30 minit sebelum diluluskan anggota Dewan.

Howard Lee ketika membentangkan usul itu berkata, serangan ini bertujuan menanam rasa benci dan untuk mencetuskan keganasan-keganasan lain di seluruh dunia.

Menurutnya, tragedi hitam yang menyayat hati itu juga merupakan tindakan pengecut kerana menyasarkan umat Islam dan Kristian yang tidak berdosa apatah lagi ia dilakukan di masjid, gereja dan hotel awam.

"Meyakini Dewan mengutuk sekeras-kerasnya ideologi ekstrem dan asabiah seperti ini, marilah kita bersama berusaha mempertahankan keamanan yang dikecapi selama ini.

"Saya juga berharap kita dapat kukuhkan perpaduan, toleransi dan kesepakatan sesama masyarakat tanpa memandang kaum, keturunan, bahasa mahupun bangsa.

"Kita tidak harus membiarkan seseorang yang ekstremis dan melampau merosakkan kerukunan yang terbina sekian lama di negara ini," katanya.

Pada 21 April lalu, satu siri letupan menggegarkan beberapa lokasi iaitu Gereja Kochikade, Gereja Katuwapitiya dan Kingsbury Hotel, Shangri-La Hotel, Cinnamon Grand Hotel di Colombo pada 8.30 pagi waktu tempatan mengorbankan lebih 200 orang.

Artikel Berkaitan:

Sementara insiden serangan keganasan di dua masjid di Christchurch, New Zealand, 15 Mac lalu pula mengorbankan 51 nyawa termasuk seorang rakyat Malaysia.

Dalam pada itu, DUN Perak turut meluluskan tanpa bahas tarikh permulaan kuat kuasa Akta Jalan Parit dan Bangunan (Pindaan) 2019 (Akta A1588) bagi Negeri Perak.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru, Paul Yong Choo Kiong yang mengemukakan usul itu berkata, cadangan tarikh permulaan akta berkenaan adalah seperti disyorkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada 17 Jun 2019.