Keputusan rayuan Najib lucut kelayakan Sri Ram ditangguh

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan hari ini menangguhkan keputusan berhubung rayuan oleh bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk melucutkan kelayakan bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Sri Gopal Ram daripada mengetuai pasukan pendakwaan pada perbicaraan kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang dihadapi Najib.

Mahkamah yang disidangi oleh panel tiga anggota, terdiri daripada Hakim Datuk Zabariah Mohd Yusof, Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Lau Bee Lan, menangguhkan penghakiman selepas mendengar hujah daripada pihak pendakwaan dan peguambela.

Najib merayu terhadap keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah yang, pada 1 Mac, menolak permohonannya untuk melucutkan kelayakan Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya kanan.

Hakim Sequerah tidak menemukan bukti untuk menunjukkan bahawa Sri Ram akan berat sebelah dalam mengendalikan kes itu. Beliau juga memutuskan bahawa Najib tidak mempunyai hak untuk meminta Sri Ram mengemukakan surat pelantikannya.

Hakim juga menolak permohonan Najib untuk menggantung sementara perbicaraan yang dijadualkan bermula pada 14 Mei, sementara menunggu mahkamah selesai mendengar rayuan tersebut. - Bernama

Artikel Berkaitan: