Kes denggi catat penurunan di Perak

Sivanesan (kanan) ditemani He Mey (dua, kanan) mendengar taklimat dan penjelasan daripada wakil penduduk.
A
A

TAIPING - Jumlah kes denggi di Perak mencatat penurunan 52.2 peratus sehingga 8 Disember tahun ini berbanding tempoh sama pada tahun 2017.

Exco Kerajaan Perak, A Sivanesan berkata, sebanyak 2,750 kes dicatatkan pada tahun ini berbanding 5,266 kes pada tahun lepas.

Katanya, bagi jumlah kematian akibat denggi juga menurun bagi tempoh sama iaitu hanya enam kes pada 2018 berbanding tahun lalu sebanyak 11 kes.

"Daerah-daerah yang menunjukkan penurunan ketara adalah Kinta dengan 79 peratus diikuti Muallim 64 peratus dan Kampar (59 peratus).

"Bagaimanapun masih ada daerah yang mencatatkan peningkatan kes iaitu di Manjung sebanyak 135 peratus diikuti Hilir Perak, 95 peratus dan Kerian (16 peratus)," katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata pada sidang media selepas membuat lawatan kerja ke kawasan titik panas denggi di Taman Bersatu Kampung Boyan, di sini.

Hadir sama meninjau kawasan tersebut, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam) Dr Ling He Mey; Pegawai Daerah Larut Matang dan Selama, Mohamed Akmal Dahalan; dan Setiausaha MPT, Borhan Halim.

Sementara itu, dalam kerja tersebut, Sivanesan berkata, pihaknya akan mencari jalan bersama-sama agensi kerajaan lain untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi penduduk seperti isu tangki air, sampah dan sebagainya.

Menurutnya, selain itu beliau turut meminta kerjasama semua penduduk bagi memastikan persekitaran mereka bersih.

"Penduduk juga perlu sama-sama bertanggungjawab menjaga kawasan kejiranan mereka bagi memastikan ia sentiasa bersih selepas gotong-royong dilakukan atas inisiatif agensi kerajaan berkaitan.

"Kita akan usahakan beberapa perkara untum disegerakan termasuklah tong sampah. Lapan tong sampah akan disediakan pihak Majlis Perbandaran Taiping (MPT) melalui peruntukan saya sendiri," katanya.

Dalam pada itu, Sivanesan mengarahkan MPT mengambil tindakan terhadap penduduk yang enggan membayar cukai pintu yang difahamkan tertunggak melebihi RM300,000.