Tiga termasuk penghantar makanan ditahan kerana bergaduh

Tangkap layar video aksi pergaduhan sekumpulan lelaki dengan penghantar makanan yang tular di media sosial pada Rabu.
Tangkap layar video aksi pergaduhan sekumpulan lelaki dengan penghantar makanan yang tular di media sosial pada Rabu.
A
A
A

GEORGETOWN - Polis menahan tiga lelaki warga tempatan selepas dipercayai terlibat dengan pergaduhan di sebuah restoran di Persiaran Bayan Indah, Bayan Lepas pada Selasa lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya, Deputi Superintendan Jafri Md Zin berkata, kesemua mereka berusia antara 44 hingga 68 tahun itu ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan senjata.

Menurutnya, kejadian pergaduhan melibatkan penghantar makanan dan pelanggan di restoran terbabit tular di laman sosial pada Rabu.

"Kita menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 66 tahun berkenaan kejadian pergaduhan antara pengadu dan rakannya serta seorang penghantar makanan.

"Pada hari sama kita turut menerima laporan daripada penghantar makanan itu dan disebabkan pergaduhan kedua-dua pengadu mengalami kecederaan pada bahagian kepala dan badan.

"Setakat ini punca kejadian sebenar masih disiasat," katanya menerusi kenyataan di sini, pada Khamis.

Dalam pada itu, Jafri turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian berkenaan sehingga menjejaskan siasatan polis.

Pada Rabu tular video berdurasi satu minit lima saat yang memaparkan pergaduhan sekumpulan lelaki dengan penghantar makanan.

Dalam video berkenaan, kumpulan lelaki itu dilihat memukul penghantar makanan dengan menggunakan kerusi sebelum berjaya dileraikan beberapa pelanggan di restoran terbabit.