Dua lelaki ditahan samun guna parang, larikan RM10,000

Tangkap layar memaparkan kejadian tular samun di hadapan Teega Tower.
Tangkap layar memaparkan kejadian tular samun di hadapan Teega Tower.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Dua lelaki tempatan ditahan kerana disyaki menyamun menggunakan parang dan melarikan wang tunai RM10,000 di hadapan Teega Tower, pada Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, siasatan telah dijalankan dan suspek berusia lingkungan 40an yang terlibat dalam kejadian itu telah ditahan.

"Kita mengesan video tular itu pada Rabu, namun tangkapan sudah dibuat pada Isnin lalu iaitu pada hari sama kejadian.

"Bertindak atas maklumat dan risikan, suspek pertama ditahan pada jam 10.15 pagi di Horizon Hill dan suspek kedua pula ditahan pada jam 9 malam hari yang sama di Gelang Patah.

"Berdasarkan siasatan yang dilakukan, suspek mengaku terbabit dalam kes yang berlaku pada jam 9.45 pagi itu dengan cara melanggar kereta mangsa dan mencederakan mangsa menggunakan parang," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Sehubungan itu, Rahmat berkata, polis turut merampas RM10,000 yang disamun dari peniaga online, selain senjata parang dan kenderaan yang digunakan.

"Kedua-dua suspek tersebut ditahan reman selama empat hari sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan. Kita percaya masih ada tiga lagi rakan suspek yang masih bebas.

"Siasatan masih diteruskan bagi mengesan rakan jenayah suspek berkenaan. Kes disiasat bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan (rompakan berkumpulan)," ujarnya.

Beliau turut meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian tampil ke IPD Iskandar Puteri bagi membantu siasatan

Sebelum itu, tular video berdurasi dua minit 17 saat memaparkan insiden tersebut yang memaparkan tiga individu bersenjatakan parang menyerang mangsa di dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda.

Mangsa cuba melarikan diri, namun dua buah kereta disyaki rakan suspek menghalang kenderaan tersebut.

Turut kelihatan salah seorang suspek berjaya melarikan bungkusan yang mengandungi wang tunai berjumlah RM10,000 dari tempat duduk belakang kenderaan terbabit.