Serah simpanan karya P.Ramlee kepada Motac

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Orang ramai yang menyimpan hasil karya seniman agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee disaran supaya menyerahkannya kepada Kementerian Pelancongan, Seni Dan Budaya (Motac).

Ketua Setiausaha kementerian berkenaan Datuk Isham Ishak berkata, ia bagi memastikan khazanah negara tersebut dapat terus dipelihara untuk dijadikan koleksi seni dan warisan negara.

“Jika mana-mana ahli keluarga atau orang ramai yang menyimpan hasil karya Allahyarham Tan Sri. P. Ramlee dari nenek moyang mereka, kita harap dapat maklumkan kepada kami.

“Kalau mereka simpan sendiri, ia mungkin tidak terjaga jadi berikan kepada kami (kementerian), perpustakan, Jabatan Warisan Negara atau muzium supaya dapat diperbaiki keadaan karya itu jika ada kerosakan dan seterusnya dijaga dengan lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian program ‘Jom Baca Bersama Untuk 10 minit Peringkat Kebangsaan 2019’, di sini hari ini.

Semalam, menteri berkenaan Datuk Mohamaddin Ketapi berkata kementerian menerusi Jabatan Warisan Negara mengisytihar sebanyak 255 butiran melibatkan pelbagai kategori sebagai Warisan Kebangsaan. Katanya, sebanyak 149 daripada jumlah butiran itu adalah hasil karya Allahyarham Tan Sri P. Ramlee termasuk gubahan lagu serta dua trofi yang dimenanginya di Festival Filem Asia Pasifik (APFF) iaitu Anugerah Filem Komedi Terbaik untuk filem ‘Madu Tiga’ pada 1964 dan Anugerah Seniman Serba Boleh pada 1965.

Sementara itu, kira-kira enam juta peserta menyertai program ‘Jom Baca Bersama 10 Minit’ yang diadakan serentak di seluruh negara hari ini.

Program tersebut merupakan inisiatif ke arah membentuk masyarakat minat membaca walaupun dalam tempoh singkat 10 minit, selain merupakan program sokongan semua perpustakan di Malaysia bersama agensi kerajaan untuk meningkatkan budaya membaca dalam kalangan rakyat di negara ini. - Bernama

Artikel Berkaitan: