Nadi Dialog Malaysia, Sinar Harian kerjasama bincang isu penghinaan agama

Mohd Yusof Noor
Mohd Yusof Noor
A
A
A

SHAH ALAM - Pertubuhan Nadi Dialog Malaysia menjalin kerjasama dengan akhbar Sinar Harian bagi membincangkan isu penghinaan agama pada Khamis ini.

Presidennya, Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor berkata, platform Sinar Harian dipilih kerana bersesuaian dengan konsep yang mereka bawakan.

"Kita ketika zaman kini sepatutnya tiada gerakan memarahi agama lain sebab kita sudah bertamadun.

"Tapi timbul kepelikan kenapa masih wujud elemen memarahi agama ini, jadi pada Khamis ini kita sama-sama dengarkan sesi dialog, anjuran bersama ini," katanya kepada Sinar Harian di sini.

Wacana Sinar Harian Kali Ke-106 akan membawakan tajuk Penghinaan Agama Satu Perspektif di mana ia menampilkan panel Profesor Undang-Undang Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Profesor Datuk Dr Abdul Halim Sidek; Pendakwah Bebas, Syafiq Raffiqin Liow dan Penganalisis Politik Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Sivamurugan Pandian.

Bekas Naib Presiden Universiti Malaya, Datuk Dr Abdul Monir Yaacub sebagai moderator wacana tersebut.

Wacana akan berlangsung 25 April di Dewan Karangkraf Seksyen 15, Shah Alam bermula jam 10 pagi sehingga 12 tengah hari.

Dalam pada itu, menyentuh mengenai Nadi Dialog Malaysia, Mohd Yusof berkata, antara agenda pertubuhannya adalah untuk menggalakkan aktiviti dialog secara sihat.

Artikel Berkaitan:

"Kita ini bertindak sebagai pusat dialog sama ada di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

"Selain itu, kita mengkaji dan menjalankan penyelidikan tentang isu-isu semasa secara bersepadu untuk kepentingan rakyat Malaysia dan masyarakat sejagat," katanya.