'Umno Sabah tidak terjejas'

Umno
Umno
A
A
A

KOTA KINABALU - Umno Sabah tidak terjejas dengan tindakan sekumpulan ahli Parlimen dan Adunnya yang meninggalkan parti itu, semalam.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, data yang diperoleh Umno Sabah setakat ini menunjukkan hanya sebahagian sahaja ahli meninggalkan parti termasuk ketua bahagian.

Berikutan itu katanya, kekosongan yang ditinggalkan itu akan diisi oleh pengganti bagi memangku jawatan tersebut.

"Mengikut Perlembagaan Umno, mana-mana kekosongan itu berlaku, timbalan atau naib presiden akan memangku jawatan itu.

"Jadi anda jalankan tugas sebaiknya sementara surat lantikan memangku dikeluarkan Umno Pusat," katanya dalam sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan pimpinan Umno Sabah di sini hari ini.

Perjumpaan tertutup lebih dua jam itu turut melibatkan kehadiran seorang lagi Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Ketua Wanita Umno, Datuk Noraini Ahmad.

Semalam, Umno Sabah dikejutkan dengan tindakan pengerusinya, Datuk Hajiji Mohd Noor bersama 13 wakil rakyat dan 21 ketua bahagian menjadi ahli politik Bebas.

Katanya lagi, Umno Sabah yakin semakin kukuh dengan perubahan kepimpinan baharu dan adanya pemimpin muda akan ambil alih jawatan.

Artikel Berkaitan:

"Cuma kepimpinan baharu perlu lebih agresif serta selesaikan kekeliruan selama ini yang berlaku di akar umbi.

"Ia perlu agar kita terus memantap parti agar menjadi pembangkang efektif serta merampas kembali Putrajaya dan Sabah,” katanya.