Peniaga bazar Ramadan disaran tawar Menu Rahmah

Azman (dua, kanan) menyampaikan hadiah kepada pemenang semasa merasmikan Hari Pengguna Kebangsaan Peringkat Negeri Kelantan di Kota Bharu.
Azman (dua, kanan) menyampaikan hadiah kepada pemenang semasa merasmikan Hari Pengguna Kebangsaan Peringkat Negeri Kelantan di Kota Bharu.
A
A
A

KOTA BHARU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan menyarankan peniaga bazar Ramadan untuk menawarkan Menu Rahmah kepada orang ramai.

Pengarahnya, Azman Ismail berkata, ia sejajar dengan saranan kerajaan untuk mewujudkan satu bazar Ramadan Rahmah di setiap negeri.

"Untuk itu setiap bazar perlu ada sekurang-kurangnya 30 peratus daripada jumlah peniaga menawarkan menu tersebut.

"Ia merupakan inisiatif peniaga kepada pengguna dan di Kelantan terdapat tiga lokasi bazar Ramadan yang akan dipilih iaitu sama ada pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV, Pasir Tumbuh dan Kubang Kerian," katanya semasa sidang akhbar pada Rabu.

Sebelum itu beliau merasmikan Hari Pengguna Kebangsaan Peringkat Negeri Kelantan di sini.

Menurut beliau, setakat ini ia masih di peringkat perbincangan dengan pihak berkenaan.

Ujarnya, penetapan harga bagi setiap Menu Rahmah ialah RM5 ke bawah.

Azman memberitahu, peniaga bazar yang berminat boleh mendaftar dengan pihak KPDN dan ia akan dimasukkan ke dalam portal.

"Selain mendapat promosi percuma peniaga juga akan diberikan banting Menu Rahmah untuk dipamerkan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ujar beliau di Kelantan terdapat 115 kedai yang menawarkan Menu Rahmah setakat ini.

Tambahnya, jajahan Kota Bharu merupakan lokasi paling banyak yang menjayakan menu tersebut.

"Walaupun ada segelintir pihak mengatakan ia tidak relevan dengan negeri ini kerana harga makanan di bawah RM5 dilihat biasa, namun sambutan sangat menggalakkan dari peniaga," katanya.