Kerajaan mungkin hapus dasar penetapan harga siling RON95

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Dasar penetapan harga siling minyak RON95 mungkin dihapuskan dan digantikan dengan kaedah subsidi petrol bersasar selepas data penerima Skim Bantuan Sara Hidup (BSH) dikemaskini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara itu masih dalam pertimbangan, sama ada mengekalkan harga harga minyak pada paras RM2.08 seliter atau pemberian subsidi bersasar.

“Kita ada dua pilihan. Kabinet masih belum membuat keputusan tentang perkara ini. Kita juga perlu membuat keputusan sama ada subsidi bersasar bagi minyak RON95 akan ditentukan pada harga siling atau sistem apungan harga," katanya pada Program Dialog Bersama Media di sini.

ARTIKEL BERKAITAN: Mekanisme subsidi petrol bersasar dimuktamadkan Julai 2019

Saifuddin berkata, kementerian turut merancang untuk menggunakan data BSH bagi menentukan jumlah penerima yang layak mendapat subsidi dan sedang menanti maklumat daripada pihak Sekretariat BSH sebelum perkara itu dapat dilaksanakan.

"Isu mengenai kaedah untuk memasukkan duit kepada penerima ialah 10 peratus daripada individu dalam pangkalan data kementerian tidak mempunyai akaun bank," jelasnya.

Ujar beliau, kementerian telah mengadakan sesi libat urus dengan beberapa bank bagi membantu individu yang tidak mempunyai akaun bank terutama golongan yang tinggal jauh di pedalaman.

"Jika Kabinet setuju dengan kaedah ini, kami akan mula mengagihkan dana kepada penerima pada setiap hujung bulan. Kami berhasrat untuk menggunakan kaedah ini berbanding kaedah lain yang dicadangkan," jelasnya.

Tambah Saifuddin, jika kaedah itu berjaya, kementerian akan memperluaskan lagi kepada bahan keperluan lain termasuk minyak masak dan tepung.

Artikel Berkaitan:

“Penjimanan yang kita perolehi daripada kaedah ini lebih berkesan yang membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia menikmati subsidi pertol terutama golongan pertengahan M40. Ini adalah pelan jangka panjang," ujar beliau.

Ketika ditanya bila perkara itu akan dilaksanakan, beliau berkata, pihaknya hanya menanti pangkalan data BSH dikemaskini yang akan siap dalam tempoh terdekat.

“Kami sedang mengemaskini data yang kini di peringkat akhir. Kami ingin memastikan data ini ada kredibiliti, mereka yang layak mesti dimasukkan dan mereka yang tidak layak dikeluarkan," katanya.

Untuk rekod ketika ini terdapat seramai 4.1 juta penerima BSH.