Mesir berminat eratkan semula hubungan ekonomi Malaysia

Gamal - Foto sumber internet
Gamal - Foto sumber internet
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mesir berminat untuk mengeratkan semula hubungan ekonomi dengan Malaysia dan berharap untuk mencapai perdagangan dua hala bernilai AS$1 bilion (AS$1=RM4.13) pada tahun ini.

Duta Besar Mesir ke Malaysia, Gamal Abdelrehim Metwally berkata hubungan perdagangan antara kedua-dua negara tidak begitu aktif untuk suatu tempoh, dengan delegasi perdagangan Mesir melawat Malaysia sebelum ini pada 15 tahun yang lepas.

Delegasi perdagangan dari Mesir tiba pada Ahad lepas dan akan berada di Malaysia hingga 24 April.

Beliau berkata delegasi perdagangan Mesir telah menyatakan minat untuk mempromosikan dan meningkatkan hubungan ekonomi dan komersial dengan Malaysia.

Gamal berkata Mesir turut berminat untuk menghubungkan semula Kuala Lumpur dan Kaherah melalui Malaysia Airlines dan EgyptAir.

“Saya telah menemui Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi pagi ini dan kami membincangkan bagaimana untuk menghubungkan semula (kedua-dua negara) melalui penerbangan terus. Malaysia Airlines tidak lama lagi boleh melakukan penerbangan ke Kaherah dan EgyptAir akan kembali ke Malaysia,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian pada acara rangkaian perniagaan yang diadakan dengan kerjasama Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM).

Beliau berkata Mesir, yang kini merupakan pengimport terbesar minyak sawit Malaysia, turut berminat untuk memainkan peranan sebagai pintu masuk kepada eksport komoditi negara ke pasaran Afrika.

Artikel Berkaitan:

“Kami juga telah menemui Menteri Industri Utama Teresa Kok semalam dan membincangkan mengenai bagaimana kami dapat bekerjasama dan mengukuhkan hubungan (perdagangan) sedia ada antara kedua-dua negara, bukan hanya dalam sektor minyak sawit, tetapi juga sektor lain di bawah penyeliaan kementerian,” katanya.

Naib Presiden NCCIM Datuk Liew Sew Yee berkata dengan perdagangan Malaysia-Mesir mendapat sokongan, tiba masanya untuk mengaktifkan semula Majlis Perniagaan Malaysia-Mesir, untuk mempromosikan peluang perdagangan antara kedua-dua negara.

Beliau berkata majlis itu tidak aktif sejak revolusi Mesir 2011, dengan perdagangan antara kedua-dua negara merosot kira-kira 40 peratus dari 2011-2016.

Katanya terdapat peluang bagi kedua-dua negara untuk meninjau peluang perniagaan melalui aktiviti perdagangan dan pelaburan yang aktif melalui majlis perniagaan itu.

Pada 2018, Mesir merupakan rakan dagang keempat terbesar Malaysia di Afrika. - Bernama