495 pusat tahfiz berdepan risiko kebakaran ditambah baik

Mujahid Yusof Rawa. - Foto Bernama
Mujahid Yusof Rawa. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sejumlah 495 pusat tahfiz berdaftar yang berhadapan risiko bahaya kebakaran, akan ditambah baik menerusi bantuan dana RM50 juta yang diperuntukkan dalam Belanjawan 2019, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Beliau berkata proses penambahbaikan pusat tahfiz itu akan bermula pada Julai atau Ogos ini selepas melakukan rundingan dengan pelbagai pihak termasuk Majlis Agama Islam Negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Peruntukan itu adalah untuk menyelesaikan isu keselamatan, infrastruktur, kebersihan dan perbaiki sistem-sistem yang berisiko. Maka pada akhir tahun ini kita boleh lihat hasil keseluruhannya,” katanya kepada pemberita selepas sesi Town Hall Maqasid Syariah peringkat Wilayah Persekutuan, di Masjid Wilayah Persekutuan, hari ini.

Semalam, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berkata bahawa 495 daripada 1,267 keseluruhan pusat tahfiz berdaftar di seluruh negara dikategorikan berhadapan risiko bahaya kebakaran.

Antara aspek yang tidak dipatuhi adalah jumlah pelajar yang sesak di asrama, atau susun atur perabot menghalang laluan keluar yang menyukarkan operasi menyelamat jika berlaku kebakaran.

Zuraida berkata pusat tahfiz itu diberikan tempoh selama tiga bulan untuk melakukan penambahbaikan sebelum Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melakukan pemeriksaan kali kedua.

Namun Mujahid berkata tempoh itu boleh dilanjutkan sekiranya pusat tahfiz itu berusaha memenuhi piawaian yang ditetapkan dalam mengurangkan risiko bahaya kebakaran. - Bernama

Artikel Berkaitan: