Pejabat Pos Bandar Permaisuri kena pecah masuk

Zulkifli Mat Deris
Zulkifli Mat Deris
A
A
A

SETIU- Seorang pekerja Pejabat Pos Bandar Permaisuri terkejut selepas menyedari premis tersebut dipecah masuk malam tadi.

Kejadian disedari seorang kakitangan di situ apabila penggera keselamatan di pejabat pos berkenaan berbunyi pada jam 11 malam.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Zulkifli Mat Deris berkata, kakitangan pejabat pos itu dihubungi oleh ibu pejabat penggera keselamatan memaklumkan penggera di premis tersebut berbunyi.

Menurutnya, kakitangan tersebut kemudian bergegas ke situ dan apabila sampai di tempat kejadian mendapati ada kesan pecah masuk melalui tingkap.

“Suspek bertindak memotong jeriji keselamatan kemudian menebuk dinding soft board untuk masuk ke ruang kaunter pejabat pos.

“Bagaimanapun anggaran kerugian belum dapat dipastikan dan pihak pejabat pos tersebut dalam proses mengenal pasti jumlah kerugian yang dialami,” katanya.

Zulkifli berkata, pemeriksaan pada rakaman video tertutup di dalam pejabat pos itu mendapati kejadian berkenaan dilakukan dua lelaki bertopeng.

Menurutnya, siasatan polis turut menemui barang kes yang dipercayai digunakan suspek di dalam premis tersebut seperti besi tajam, titisan darah, tin air minuman ringan, putung rokok dan air mineral.

Artikel Berkaitan:

“Polis sedang menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti mangsa dan kes ini disiasat menurut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana memecah masuk premis,” katanya.