Kerajaan nafi data hutang langsung dikeluarkan MOF, BNM bercanggah

Amiruddin
Amiruddin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tidak wujud sebarang isu atau percanggahan data mengenai status terkini hutang langsung Kerajaan Persekutuan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan (MOF) dan Bank Negara Malaysia (BNM).

Malah, kedudukan hutang langsung kerajaan masih lagi kekal di bawah paras 55 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ir. Amiruddin Hamzah.

Ketika menegaskan perkara itu, beliau berkata, dokumen terkini yang diterbitkan oleh MOF dan BNM melaporkan kedudukan hutang langsung Kerajaan Persekutuan setakat akhir 2018 adalah 51.8 peratus daripada KDNK tersebut.

"MOF menerusi laporan Fiscal Updates 2018 (Perkembangan Fiskal 2018) menyatakan kedudukan hutang langsung kerajaan adalah RM741 bilion atau 51.8 peratus daripada KDNK manakala BNM menerusi Laporan Tahunan 2018 turut menunjukkan jumlah sama. Oleh itu tiada isu (timbulnya) percanggahan data.

"Kedudukan hutang langsung kerajaan masih lagi kekal di bawah paras 55 peratus daripada KDNK, dan kerajaan akan terus mengamalkan konsep tadbir urus baik dalam setiap tadbir urus perbelanjaan pembangunan supaya kita tidak berbelanja melebihi paras 55 peratus ini," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Ismail Ibrahim yang mendakwa wujud kekeliruan dari segi standard laporan yang dikeluarkan oleh MOF dan BNM yang disifatkan berkemungkinan menjejaskan pasaran modal Malaysia serta langkah kerajaan menangani sentimen itu agar tidak menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara.

Ketika menjelaskan selanjutnya, Amiruddin berkata, kedudukan terkini hutang domestik kerajaan merangkumi 97.1 peratus atau RM719.5 bilion daripada jumlah hutang langsung manakala baki 2.9 peratus atau RM21.5 bilion merupakan pinjaman luar pesisir.

"Selain jumlah hutang domestik dan pinjaman luar pesisir itu, kerajaan turut mempunyai tanggungan liabiliti lain seperti tanggungan jaminan, hutang 1MDB dan liabiliti lain.

Artikel Berkaitan:

"Ini menjadikan hutang dan liabiliti kerajaan dianggarkan berjumlah RM1.1 trilion atau sekitar 76 peratus daripada KDNK pada akhir 2018," katanya. - Bernama