KPDNHEP periksa 17,708 premis di Pahang

Mohd Suffian (berdiri,tiga kiri) bersama Mark (berdiri, lima kiri) beramah mesra bersama sebahagian penguatkuasa KPDNHEP Pahang pada Sambutan Hari Penguatkuasa kali ke-47 dan Majlis Ramah Mesra bersama Media di sini hari ini.
Mohd Suffian (berdiri,tiga kiri) bersama Mark (berdiri, lima kiri) beramah mesra bersama sebahagian penguatkuasa KPDNHEP Pahang pada Sambutan Hari Penguatkuasa kali ke-47 dan Majlis Ramah Mesra bersama Media di sini hari ini.
A
A
A

KUANTAN- Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pahang telah melakukan 17,708 pemeriksaan ke atas premis perniagaan di negeri ini sejak 1 Januari hingga April melibatkan nilai rampasan berjumlah RM142,928.30.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Negeri Pahang, Mohd Suffian Mohd Abass berkata daripada jumlah pemeriksaan itu, sebanyak 280 kes telah diambil tindakan dengan pelbagai kesalahan.

"Daripada 280 kes tersebut, 238 kes telah berjaya diselesaikan dan operasi yang dilaksanakan bukan sahaja melibatkan di bandar malah di luar bandar bagi memastikan peniaga sentiasa mengikuti peraturan.

"Pelbagai kesalahan telah dilakukan namun kesalahan yang paling banyak dilakukan melibatkan Akta Kawalan Harga dan Anti pencatutan 2011.

"Jika sabit kesalahan, boleh dihukum denda hingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun bagi individu, manakala syarikat pula boleh dikenakan denda hingga RM500,000 atau kompaun hingga RM250,000," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media pada Sambutan Hari Penguatkuasa kali ke-47 dan Majlis Ramah Mesra bersama Media di sini hari ini.

Turut hadir sama Pengarah KPDNHEP Pahang, Datuk Mark Ujin.

Mohd Suffian berkata operasi akan sentiasa dilaksanakan dari masa ke semasa oleh enam cawangan KPDNHEP yang membabitkan seramai 150 anggota bagi memastikan peniaga patuh undang-undang.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau memberi amaran tegas kepada peniaga agar memastikan barang keperluan harian sentiasa mencukupi di premis masing-masing.

"Peniaga juga perlu mempamerkan tanda harga yang jelas dan tidak mengelirukan penguna. Jangan pula pamer harga lain, bila dibayar di kaunter harga lain. Itu yang kita tak mahu terjadi.

"Kami amat mengalu-alukan aduan orang ramai dan jika ada sebarang aduan boleh melayari laman web KPDNHEP," katanya.