24 kontena bawa plastik terpakai tercemar dikesan

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin (kanan) melihat salah satu kontena yang mengandungi barangan dagangan sisa plastik yang dicemari dengan buangan berjadual sempena Operasi Penguatkuasaan Pengimportan Sisa Plastik di Westport, Pulau Indah hari ini. - Foto Bernama
Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin (kanan) melihat salah satu kontena yang mengandungi barangan dagangan sisa plastik yang dicemari dengan buangan berjadual sempena Operasi Penguatkuasaan Pengimportan Sisa Plastik di Westport, Pulau Indah hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PELABUHAN KLANG - Kementerian Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar berjaya mengesan tindakan sebuah syarikat pengimport plastik terpakai yang membuat pengisytiharan palsu bagi membawa masuk barangan plastik yang dilarang.

Menterinya, Yeo Bee Yin berkata modus operandi syarikat itu berjaya dikesan oleh pihaknya yang membuat beberapa siri pemeriksaan di sekitar Pelabuhan Klang sejak bulan lepas.

“Kontena ini diisytiharkan mempunyai kandungan plastik terpakai yang bersih bagaimanapun ia sebenarnya mengandungi bahan plastik terpakai yang tercemar, mengikut peraturan, hanya plastik terpakai yang bersih sahaja boleh dibawa masuk ke negara ini bagi tujuan kitar semula dan plastik tercemar adalah dilarang.

“Kita telah mengesan syarikat yang mengeksport plastik ini dan kertas siasatan sedang disiapkan dan mereka akan didakwa dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita selepas menyertai operasi penguatkuasaan di Pelabuhan Barat di sini hari ini.

Bernama difahamkan sebanyak 24 kontena yang dipercayai berasal dari Jerman yang mengandungi plastik terpakai tercemar berjaya dikesan di pelabuhan itu.

Turut difahamkan plastik berkenaan merupakan saluran air yang digunakan untuk menyalurkan air di ladang-ladang di negara berkenaan. Plastik yang tercemar ini kemudian akan dihantar ke kilang-kilang kitar semula haram untuk dilupuskan atau dihantar ke mana-mana tapak pelupusan sampah haram di seluruh negara.

Sehingga kini, sebanyak 111 kontena di Pelabuhan Barat dan 18 kontena di Pelabuhan Utara yang mempunyai kandungan plastik terpakai belum dituntut kerana belum melakukan pengisytiharan penuh dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Tambah Bee Yin, pihaknya akan mengarahkan kontena yang mempunyai bahan tercemar itu dihantar semula ke negara asal oleh syarikat perkapalan yang membawanya ke sini.

Artikel Berkaitan:

“Kos penghantaran kontena-kontena ini akan ditanggung oleh syarikat ‘forwarding’ berkenaan selaras dengan Basel Convention, konvensyen yang mengawal selia dan mengurangkan pergerakan bahan buangan berbahaya merentas sempadan,” katanya.

Tambah beliau, syarikat perkapalan turut dinasihatkan agar berhati-hati apabila menerima tempahan untuk membawa masuk plastik terpakai ke negara ini kerana mereka turut boleh dikenakan tindakan jika berlaku pengisytiharan palsu.

Sementara itu, mengulas mengenai operasi penguatkuasaan kilang kitar semula sisa plastik, Bee Yin berkata, setakat 11 April lepas sebanyak 300 kilang telah diperiksa yang mana 148 buah dihentikan atau ditahan operasinya. - Bernama