Padah buat laporan palsu hilang Mykad

mahkamah
mahkamah
A
A
A

KUANTAN – Lima individu termasuk seorang wanita mengaku bersalah di dua Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas pertuduhan membuat laporan polis palsu mendakwa disamun dan diragut selepas kehilangan kad pengenalan.

Pengakuan Mohd Hafizuddin Abdul, 29, dan Mohamad Azizuddin Mohamad Shafie, 23, direkodkan di hadapan Majistret Nor Azizah Aling sebaik sahaja pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan.

Mohd Hafizuddin didakwa melakukan kesalahan itu pada pukul 4.40 petang 12 Oktober manakala Mohamad Azizuddin mengaku salah melakukan perbuatan itu pada pukul 3 pagi, 20 November lalu. Kesalahan didakwa dilakukan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding itu, Mohamad Azizuddin yang bekerja di sebuah kedai tekstil merayu jika mahkamah dapat memberikan tempoh sehingga 1 Dis depan untuk dia menjelaskan denda, atas alasan menunggu gaji bulan ini.

"Pendapatan saya sekitar RM800 ke RM1,050 sebulan. Wang bulan ini sudah habis diberikan kepada emak untuk belanja bulanan selain digunakan untuk membeli kelengkapan persekolahan dua adik.

"Saya mohon tangguh sehingga gaji Disember kerana rakan yang saya minta untuk meminjam wang tidak hadir hari ini. Saya insaf... laporan itu dibuat kerana saya bimbang dikenakan denda RM1,000 memandangkan ini kali ketiga kad pengenalan hilang," katanya.

Nor Azizah yang menjatuhkan hukuman denda RM1,200 atau jika gagal, empat bulan penjara ke atas kedua-dua mereka juga menangguhkan seketika kes Mohamad Azizuddin sebelum menjatuhkan hukuman bagi membolehkan dia mencari wang denda.

Artikel Berkaitan:

Beliau juga menasihatkan mereka supaya berlaku jujur kerana perbuatan membuat laporan polis palsu menyebabkan anggota polis terpaksa menjalankan siasatan dan akhirnya membawa lebih banyak keburukan apabila dihadapkan ke mahkamah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Shahrizzat Amadan. Sementara itu, di hadapan Majistret Nurunaim Abdullah, tiga tertuduh mengaku bersalah atas tuduhan sama, iaitu Badrulhisyam Azizan, 40, Ahmad Al-Amin Yusoff, 26, dan Wan Hui Yi, 20.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada 9 Julai, 27 Julai dan 1 Disember lalu di IPD Kuantan.

Nurunaim memerintahkan Badrulhisyam yang merupakan bapa kepada empat orang anak dipenjara sehari berkuatkuasa hari ini, dan denda RM2,500 atau jika gagal, empat bulan penjara manakala Ahmad Al-Amin dan Wan didenda RM1,800 atau jika gagal, sebulan penjara. - Bernama.