Guan Eng nafi dakwaan pemberian tanah percuma kepada CCCC

Menteri Kewangan Lim Guan Eng - Foto Bernama
Menteri Kewangan Lim Guan Eng - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri Kewangan Lim Guan Eng menolak dakwaan bahawa 4,500 ekar tanah di sepanjang Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan diberikan secara percuma kepada China Communications Construction Company Ltd (CCCC).

Lim mengulas dakwaan blogger Raja Petra Kamarudin bahawa untuk ‘diskaun’ sebanyak RM21.5 bilion, CCCC diberikan kira-kira 4,500 ekar tanah di tujuh taman perindustrian yang berbeza berhampiran stesen ECRL.

ECRL diteruskan dengan perjanjian yang lebih baik dengan CCCC, dengan kos ECRL dikurangkan kepada RM44 bilion daripada RM65.5 bilion sebelum ini, penjimatan sebanyak RM21.5 bilion.

"Saya tidak dimaklumkan mengenai 4,500 ekar diberikan secara percuma. Saya tidak fikir itu betul. Melihat kepada kontrak, jika terdapat apa-apa tambahan, ia perlu melalui Kabinet.

"Setakat ini, kami tidak dimaklumkan mengenai apa-apa tambahan 4,500 ekar diberikan secara percuma. Saya tidak fikir begitu," katanya.

Lim berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian bagi Program Kerjasama Industri antara kerajaan Malaysia dan Bombardier Hartasuma Consortium di Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Lim berkata butiran kontrak rasmi akan didedahkan.

"Setakat yang saya tahu, ia tidak diberikan secara percuma. Jika anda melihat TOD (pembangunan berorientasikan transit), justeru, ia bukan percuma. TOD merupakan kaedah standard untuk semua projek infrastruktur," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: