123 bekas kakitangan Rayani Air dapat tunggakan gaji sebelum Aidilfitri

Ravi turut memuatnaik notis pembayaran tunggakan gaji kakitangan Rayani Air di Facebooknya.
Ravi turut memuatnaik notis pembayaran tunggakan gaji kakitangan Rayani Air di Facebooknya.
A
A
A

SHAH ALAM - Selepas tiga tahun menunggu, seramai 123 bekas kakitangan syarikat penerbangan Rayani Air termasuk enam juruterbang dijangka menerima bayaran tunggakan gaji sebelum Aidilfitri ini.

Pemilik Rayani Air, Ravi Alagendrran berkata, mereka yang terjejas berdepan masalah itu sejak syarikat berkenaan menghentikan operasi pada 2016.

"Jumlah bayaran melibatkan peruntukan sebanyak RM1 juta. Kami akan cuba menyelesaikan bayaran secepat mungkin, dijangka sebelum Aidilfitri pada Jun ini," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Semalam, Ravi memuatnaik satu notis di Facebooknya yang memaklumkan mengenai bayaran gaji tertunggak kepada bekas kakitangan Rayani Air.

Notis itu meminta bekas kakitangan terlibat mengemukakan maklumat peribadi bagi membolehkan bayaran gaji tertunggak dibuat sebelum Aidilfitri.

Rayani Air memulakan operasi pada Disember 2015 tetapi mengumumkan penggantungan operasi pada April 2016 selepas tindakan mogok sekumpulan juruterbangnya.

Dua bulan selepas itu, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) dan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) membatalkan Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) dan Sijil Operator Udara (AOC) Rayani Air.

Ia berikutan Rayani Air telah melanggar syarat-syarat lesen berkenaan dan tidak mempunyai keupayaan kewangan dan pengurusan untuk terus beroperasi sebagai sebuah syarikat penerbangan komersial.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ravi berkata, bayaran balik tambang kepada pelanggan akan diumumkan melalui Facebook Rayani Air mulai pertengahan Jun.

Katanya, Rayani Air juga sedang merangka hala tujunya akan datang dalam industri penerbangan.