Miliki heroin: Penganggur dijel 12 tahun,10 sebat

Muhamad Adam Amri, dihukum 12 tahun penjara dan 10 sebatan mengaku bersalah memiliki heroin di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu hari ini.
Muhamad Adam Amri, dihukum 12 tahun penjara dan 10 sebatan mengaku bersalah memiliki heroin di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu hari ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang pemuda yang hanya bersekolah sehingga tingkatan tiga dihukum 12 tahun penjara dan 10 sebatan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu hari ini kerana memiliki heroin, pada tahun lalu.

Muhamad Adam Amri, 22, dari Kampung Seberang Bukit Tumbuh, Kuala Nerus, mengaku bersalah atas pertuduhan pindaan yang dibacakan di hadapan Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed.

Tertuduh sebelum ini berdepan dengan hukuman gantung sampai mati atas tuduhan mengedar dadah tetapi pihak pendakwaan menawarkan pertuduhan pilihan.

Berdasarkan pertuduhan, Muhamad Adam didakwa mengedar dadah jenis heroin berat bersih 35.50 gram di sebuah rumah di Kampung Seberang Bukit Tumbuh, Kuala Nerus pada 15 Mei 2018.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun penjara dan tidak kurang 10 sebatan, jika disabitkan kesalahan.

Hakim Abdul Wahab memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula daripada tarikh tangkapan pada 15 Mei 2018.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Fadhli Mahmud dan Amer Abu Bakar Abdullah manakala tertuduh diwakili peguam bela, Mazlan Md Zain.

Artikel Berkaitan: