Perkhidmatan Polis Bantuan KKM diluaskan di seluruh negara

Chaw Min (tengah) ketika berucap pada sidang media berkenaan.
Chaw Min (tengah) ketika berucap pada sidang media berkenaan.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mempunyai perancangan untuk meluaskan perkhidmatan Polis Bantuan KKM di beberapa lagi hospital kerajaan di seluruh negara ini.

Ketua Setiausaha KKM, Datuk Seri Dr Chen Chaw Min berkata, mengikut perancangan penambahan anggota keselamatan itu dijangka akan ditumpukan di hospital negeri dan pakar terlebih dahulu.

“Kita ada perancangan untuk menambah beberapa lagi perkhidmatan Polis Bantuan KKM di hospital lain. Sekarang perkhidmatan ini hanya ada di Hospital Permai, Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Untuk penambahan ini, jumlah kasarnya saya tidak dapat maklum lagi, tetapi yang pasti kita mahu ada perkhidmatan ini di beberapa hospital pakar atau hospital besar negeri di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Perhimpunan Polis Bantuan KKM Peringkat Kebangsaan sempena Hari Polis ke 212 di Pusat Sukan Hospital Permai di sini, semalam.

Menurutnya, pihaknya juga tidak mempunyai masalah kekurangan anggota memandangkan sehingga kini terdapat seramai 1,358 individu yang diluluskan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Sekarang ini pun PDRM sudah meluluskan sejumlah anggota termasuk kira-kira 500 daripadanya telah pun ditauliahkan.

“Buat masa ini penambahan lapangan Polis Bantuan KKM di hospital yang lain kita sedang perincikan lagi, sebab perlu melihat bajet dan perbelanjaan kewangan kerajaan dahulu,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Chaw Min berkata, perkhidmatan Polis Bantuan KKM dalam membantu kawalan di hospital terbabit berfungsi dengan baik dan memainkan peranan yang besar.

“Kita perlukan pasukan yang cekap dan boleh membantu PDRM menjaga keselamatan orang ramai di tempat umum dan tumpuan seperti ini.

"Sedia maklum di hospital juga berlaku perkara tidak diingini seperti kemalangan dan kecurian kenderaan,” katanya.