Pemuda maut kereta hilang kawalan langgar treler

Keadaan kereta Perodua Myvi dipandu mangsa yang terlibat dalam kemalangan di KM 77.5 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur di sini pada pagi Ahad. - Foto IPD Tapah
Keadaan kereta Perodua Myvi dipandu mangsa yang terlibat dalam kemalangan di KM 77.5 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur di sini pada pagi Ahad. - Foto IPD Tapah
A
A
A

TAPAH - Seorang pemuda maut selepas kereta dipandunya melanggar sebuah treler dalam kejadian di kilometer (KM) 77.5 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur pada pagi Ahad.

Mangsa yang maut, Muhammad Khairil Aznie Bahraum beralamat di Slim Village, Slim River memandu kereta Perodua Myvi bersama-sama dua lagi rakannya.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, siasatan awal mendapati, lori treler terbabit dalam perjalanan dari Johor Baharu menuju ke Ipoh manakala kereta Perodua Myvi dipandu mangsa dalam perjalanan dari Chenderiang menuju ke Slim River.

"Apabila sampai di tempat kejadian, kereta Perodua Myvi dipandu mangsa yang berada di lorong kanan telah hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan sebelum melanggar tayar hadapan sebelah kanan treler terbabit.

Kejadian kemalangan maut membabitkan sebuah kereta dan lori treler di KM 77.5 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur di sini pada pagi Ahad. - Foto IPD Tapah
Kejadian kemalangan maut membabitkan sebuah kereta dan lori treler di KM 77.5 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur di sini pada pagi Ahad. - Foto IPD Tapah

"Akibat dari kemalangan terbabit, pemandu kereta mengalami kecederaan parah pada bahagian dalaman dan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Sementara itu, Wan Azharuddin berkata, dua penumpang kereta masing-masing berusia 23 dan 24 tahun yang juga rakan sekampung mangsa masing-masing mengalami kecederaan ringan pada bahagian kepala dan tangan.

Menurutnya, pemandu treler berusia 59 tahun itu pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

Jelasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pihak polis sedang mengesan saksi kejadian selain kedua-dua kenderaan dibawa ke Puspakom untuk pemeriksaan.