'Jangan tunduk desakan DAP'

Nasrudin Hassan
Nasrudin Hassan
A
A
A
KUANTAN - Pas mendesak Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik tidak tunduk dengan desakan DAP yang menggesa kerajaan menamatkan amalan mengutamakan pelajar Bumiputera bagi program matrikulasi pra-universiti.

Ketua Penerangannya, Nasrudin Hassan berkata, Kementerian Pendidikan perlu mengekalkan status quo nisbah pengambilan pelajar program matrikulasi prauniversiti di institut pengajian tinggi awam selaras dengan hasrat awal penubuhannya bagi memberi peluang kepada golongan sasar sebenar untuk mengikuti kursus penting yang ditawarkan.

Menurutnya, tidak ada keperluan mendesak untuk menukar nisbah kuota 90 peratus untuk Bumiputera, dan 10 peratus untuk bukan Bumiputera buat masa ini.

“Desakan DAP untuk mengganggu sistem dan dasar pendidikan negara adalah keterlaluan sebaliknya jika ia menguntungkan mereka seperti perolehan peruntukan khas dari Kementerian Kewangan untuk kolej swasta persendirian Cina, mereka tidak timbulkan pula soal keadilan dan kesamarataan.

“Mengapa sekarang DAP menimbulkan perkara ini selepas cubaan untuk mengiktiraf UEC gagal? “soalnya.
Artikel Berkaitan:


Nasrudin berkata, itu membuktikan agenda DAP untuk kepentingan kaum Cina semata-mata sehingga sanggup merombak dasar dan sistem pendidikan negara yang telah diamalkan secara efektif selama ini.

“Kita minta Menteri Pendidikan supaya tidak tunduk kepada desakan DAP, sebaliknya fokus kepada meningkatkan mutu pendidikan kepada semua pelajar tanpa mengira kaum selaras dengan kehendak falsafah pendidikan negara,” katanya.

DAP sebelum ini mendakwa dasar itu bertentangan dengan jaminan Perlembagaan Persekutuan bahawa tiada diskriminasi terhadap setiap warganegara.