Kontraktor maut jatuh selepas atap dipijak pecah

Ir Zamzurin Maarof
Ir Zamzurin Maarof
A
A
A

IPOH - Seorang lelaki maut selepas terjatuh dari bumbung setinggi kira-kira 11 meter di sebuah kilang besi galvanis di sini, ketika melakukan kerja-kerja penggantian bumbung, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi, mangsa yang berusia 55 tahun maut di lokasi kejadian selepas dipercayai mengalami kecederaan serius di kepala.

Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak, Ir Zamzurin Maarof berkata, pihaknya mengarahkan pasukan penyiasat ke lokasi kemalangan sejurus menerima maklumat kejadian.

"Siasatan awal mendapati mangsa yang juga kontraktor sedang menjalankan kerja-kerja di tempat tinggi dengan melakukan aktiviti pemeriksaan dan penggantian bumbung premis yang rosak.

"Mangsa kemudiannya terjatuh di atas bahagian 'conveyer roller' selepas atap lut sinar yang dipijaknya pecah," katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Menurutnya, rentetan kejadian tersebut pihak JKKP mengeluarkan satu notis larangan kepada pemilik premis kerana gagal membuat sistem kerja selamat untuk aktiviti pemeriksaan dan penggantian bumbung premis dijalankan kontraktor.

"JKKP akan mengambil tindakan perundangan jika terdapat pelanggaran di bawah peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (1994) dan Akta Kilang dan Jentera (1967) ke atas pihak bertanggungjawab," katanya.

Zamzurin berkata, JKKP memandang serius setiap kemalangan yang berlaku terutamanya melibatkan pekerja dan orang awam serta harta benda.

Artikel Berkaitan:

"Kes seumpama ini boleh dielakkan jika majikan melaksanakan penaksiran dan kawalan risiko yang komprehensif termasuk mengikut kaedah dinyatakan dalam garis panduan bagi Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC)," katanya.