Dua pakar forensik Inkues Adib lapor polis terima ugutan

A
A

Dua pakar forensik Inkues Adib lapor polis terima ugutan

Polis mengesahkan pihaknya telah menerima dua laporan dari doktor pakar forensik dalam inkues Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Muhammad Adib Mohd. Kassim pada Sabtu lalu kerana menerima ugutan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, kedua-dua-dua laporan tersebut telah dibuat di Balai Polis Subang Jaya kira-kira pukul 9.28 malam.

Bagaimanapun, tiada sebarang kenyataan lanjut akan dibuat memandangkan inkues masih berjalan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Setakat ini dua pakar dari HKL yang telah memberi keterangan ialah Ketua Jabatan Perubatan Forensik Dr Mohd Shah Mahmood dan pakar perubatan forensik Dr Ahmad Hafizam Hasmi.

Mereka berdua dilaporkan berkata Adib keluar daripada van EMRS secara sendiri melalui pintu penumpang sebelah kiri, dilanggar oleh van yang mengundur yang menyebabkannya terjatuh ke tanah.

Lagi 24 penguat kuasa JPJ Pulau Pinang dipanggil SPRM

Sebanyak 24 penguat kuasa lagi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini bagi membantu siasatan berhubung kegiatan rasuah melindungi pemandu lori.

Menurut sumber, kesemua penguat kuasa itu terdiri daripada anggota dan pegawai gred 19 hingga 32.

Sabtu lalu, sebanyak 22 lagi penguat kuasa JPJ ditahan SPRM dipercayai turut terlibat dengan kegiatan rasuah melindungi pemandu-pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya khususnya membawa lebih muatan di sekitar negeri itu

Tangkapan tersebut menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini adalah sebanyak 55 orang termasuk sembilan orang awam.

Mahkamah Tinggi kekalkan pengharaman 3 buku tentang Islam

Mahkamah Tinggi semalam mengekalkan keputusan pentadbiran lepas mengharamkan 3 buku terbitan Islamic Renaissance Front (IRF), selepas ia berpuas hati dengan alasan menteri dalam negeri mengenakan pengharaman itu.

Hakim Nordin Hassan dalam penghakimannnya berkata kandungan buku itu mungkin akan memudaratkan ketenteraman dan kepentingan awam dan mungkin akan menggemparkan pemikiran orang ramai.

Beliau berkata pihak berkuasa juga yakin buku-buku berkenaan tidak selaras dengan ajaran Sunnah Wal Jamaah dan juga boleh menyebabkan kekeliruan dalam kalangan orang Islam.

Tiga buku berkenaan adalah “Islam Tanpa Keekstreman: Berhujah Untuk Kebebasan”, iaitu terjemahan buku tulisan ahli akademi Turki, Mustafa Akyol, dan 2 buku daripada siri yang disunting Pengarah IRF, Dr Farouk Musa.

Tiga buku itu diterbitkan pada 2012, 2014 dan 2016.

Tengku Mahkota Kelantan, isteri muncul bersarapan di kedai kopi

Tengku Mahkota Kelantan, Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Petra dan pasangannya, Cik Puan Sofie Louise Johansson mengejutkan orang ramai apabila muncul buat pertama kali di khalayak umum.

Kedua-dua mempelai diraja yang diijab kabulkan pada Jumaat lalu, hanya bersantai tanpa sebarang protokol untuk sarapan pagi di Kopitiam Kuan Heong Huan.

Baginda berdua bersama 22 ahli rombongan yang terdiri daripada kenalan rapat serta keluarga dari Sweden tiba di kedai kopi tersebut pada pukul 9.30 pagi.

Mereka bersantai selama lebih sejam sambil menikmati kopi, roti bakar dan telur separuh masak.

Jumaat lalu baginda dan isteri dinikahkan oleh Ketua Hakim Syarie Kelantan, Datuk Daud Muhammad dalam istiadat yang sederhana dan dihadiri oleh kerabat serta kenalan terdekat sahaja.

12 orang asli Pos Tohoi, Gua Musang peluk Islam

Seramai 12 masyarakat orang asli, Pos Tohoi, di sini, memeluk Islam menerusi program, Kembara Jalinan Siswa Bersama Masyarakat Orang Asli (Jasa).

Penggerak Masyarakat Orang Asli (PMOA) di Kampung Orang Asli (KOA) Pos Tohoi, Zaini Dahlan Abdul Rahman berkata, program konsisten dari Jasa setiap tahun merupakan faktor utama penerimaan masyarakat terhadap Islam.

Menurutnya, rata-rata saudara baharu mengakui mereka tertarik dengan cara, usaha dan kegigihan siswa dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam membantu mereka memahami Islam.

Jasa adalah kelab yang bernaung di bawah Pusat Jalinan dan Khidmat Masyarakat UIAM yang mana fokus utama penubuhan untuk membantu dalam pembangunan dan dakwah kepada masyarakat asli khususnya di Selangor, Pahang, Perak dan Kelantan.