Kemunculan kuasa dunia Al-Masih

A
A
A

NAMANYA bukan dajal. Ini hanyalah satu gelaran yang diberi oleh Nabi SAW. Ia bermakna “yang pandai menipu, putar belit”.

Bila kita sebut tentang dajal, biasanya kita lupa bahawa ia juga diberi satu status iaitu Al-Masih. Gelaran panjang ialah Al-Masih Ad-Dajal atau dalam Melayu, Al-Masih Dajal.

Apakah makna Al-Masih? Dalam bahasa Inggeris, Al-Masih diterjemahkan sebagai Messiah atau Christ. Bila ia digunakan sebagai kata sifat, ia menjadi Messianic.

Dajal memang ramai. Ada riwayat yang kata wujud 30 orang. Makna dajal di sini adalah bersifat umum iaitu personaliti-personaliti terkenal yang kuat menipu dan ramai pengikut.

Contohnya Musailamah Al-Kadzdzab pada zaman Khilafah Abu Bakr. Beliau mempunyai 40,000 pengikut dan mengaku dirinya Rasulullah. Beliau memerangi Khalifah Abu Bakr tetapi akhirnya dibunuh dalam perang.

Tiga puluh dajal ini berbeza dengan dajal yang bergelar Al-Masih. Al-Masih Dajal bukan seperti dajal-dajal biasa. Apakah makna Al-Masih?

Untuk tahu makna Al-Masih, kita boleh lihat makna linguistiknya atau cara penggunaannya. Dalam artikel ini, kita hanya lihat cara penggunaannya untuk faham maknanya.

Status Al-Masih hanya digunakan ke atas dua insan iaitu Al-Masih Dajal dan Al-Masih Isa. Maknanya status Al-Masih adalah status agama seperti syeikh, Nabi, Rasul, sayyid, habib, tuan guru, ustaz dan lain-lain gelaran yang membawa makna seseorang itu dihormati sebagai ahli agama.

Artikel Berkaitan:

Al-Masih adalah gelaran yang memberi status sosial agama yang paling tinggi dan suci.

Maka apabila gelaran Al-Masih diberi kepada dajal, maka persoalan timbul adakah Al-Masih Dajal akan memasang imej dirinya sebagai seorang ateis atau anti agama atau sekular atau liberal?

Jelas sudah tentu tidak walaupun Al-Masih Dajal akan memperalatkan golongan ateis, anti agama, sekular, liberal, hatta LGBT demi memperkukuhkan imej agamanya. Bagaimana pula Al-Masih Dajal memperalatkan golongan-golongan ini?

Cuba lihat strategi ISIS bagaimana mereka memperkukuhkan imej agama mereka. Mereka salahkan semua masalah dunia pada liberalisme Barat.

Begitu juga kezaliman di Myanmar di mana pemimpin-pemimpin Buddhisme salahkan masalah negaranya pada kewujudan Rohingya Muslim. Hitler pula menarik sokongan jutaan rakyat Jerman dengan menyalahkan kewujudan Yahudi di negara itu.

Maknanya Al-Masih Dajal perlu merangka strategi sama dengan mencipta musuh yang kuat dan sangat dibenci umat manusia secara umumnya demi memperkukuhkan status agamanya sebagai Al-Masih di mata rakyat marhaen.

Hadis telah menyebut bagaimana Al-Masih Dajal akan memberi visi syurga tetapi sebenarnya ia adalah neraka, dan memberi visi neraka tetapi ia adalah jalan ke syurga.

Maknanya Al-Masih Dajal akan berceramah tentang nikmat syurga dan seksaan neraka jahanam. Tetapi syurga adalah dijanjikan kepada mereka yang sokongnya dan neraka bagi mereka yang menentangnya.

Bahkan Al-Masih akan isytiharkan bahawa dialah yang sebenarnya memperjuangkan agama. Yang menentangnya adalah mereka yang anti agama, anti syurga.

Pada zaman Al-Masih ini, agama benar-benar menjadi candu untuk melalaikan umatnya. Agama jadi bahan laghoo.

Suntikan ajaran agama diberi bukan untuk sedarkan umat tetapi untuk meyakinkan umat bahawa mereka perlu taksub dan taqlid kepada Al-Masih Dajal kerana mereka tidak mampu berfikir kritis sendiri. Pemikiran kritis hanya menyesatkan atas nama kebebasan.

Dalam Hadis Sahih Muslim, Nabi SAW memberitahu umatnya bagaimana menandingi Al-Masih. Nabi berkata bahawa kalau dirinya sudah tidak ada lagi dan Al-Masih Dajal sudah muncul, maka baginda berpesan, “Imru’ Hajiij Nafsihi” dan hendaklah bertawakal kepada ALLAH SWT.

Apa makna “Imru’ Hajiij Nafsihi”? Terjemahannya ialah “Seorang insan adalah hujah bagi dirinya”. Maknanya sistem pendidikan kita perlu didik umat kita supaya mampu berfikir kritis berpandukan wahyu kerana Nabi suruh jadi “hujah bagi dirinya” dan bertawakal kepada ALLAH SWT.

Masalah agamawan dan sekolah pondok ialah pendidikan akal yang kritis dianggap liberal dan konspirasi Barat. Maka pendidikan agama menjadikan umat pak turut.

Benar kata Za’ba, umat yang “tiada perangai bergantung pada diri sendiri” adalah umat yang akan musnah Islam dari dalam, menjadi alat kepada Al-Masih Dajal.

* Abdul Naser Tun Rahman ialah Tokoh Pendakwah Perak