Rumah tak mesra penghuni

A
A
A

RUMAH flat kos rendah dan sederhana atau Walk Up Flats adalah pangsapuri yang direka bentuk bagi menyelesaikan masalah kehidupan dalam bandar di mana kos tanah terlalu tinggi untuk membina rumah teres mampu dimiliki rakyat.

Walaupun rumah flat empat atau lima tingkat berjaya memenuhi keperluan asas perumahan namun keadaannya yang tidak mempunyai lif menjadi suatu ancaman besar kepada penghuni pada hari tua, waktu sakit dan bagi wanita yang mengandung.

Saya menyatakan dengan sekeras-kerasnya kalau rumah flat melebihi dua tingkat dan tiada dilengkapi lif sepatutnya ia diharamkan kelulusan pembinaannya.

Dari manakah pemikiran arkitek, pemaju, penguat kuasa dalam negara ini boleh tergamak meluluskan pembinaan rumah sedemikian tanpa melihat risiko masa depan kepada penghuni tingkat tiga, empat dan lima?

Kelonggaran pembinaan bangunan kurang dari lima tingkat untuk tiada kelengkapan lif dibuat atas dasar kos penyelenggaraan. Saya boleh faham jika bangunan sedemikian dikhususkan hanya untuk sekolah, pejabat dan apa bangunan selain hospital dan rumah.

Kenapa saya berpendapat demikian? Kalau saya sebagai pekerja yang sudah tua dan tidak berupaya memanjat tangga hingga ke tingkat lima maka saya harus pencen atau bersara.

Kalau saya patah kaki atau mengidap sakit yang menggugat keupayaan menaiki tangga maka saya boleh memohon MC atau sijil sakit serta bercuti hingga sembuh.

Kalau saya seorang wanita yang mengandung lapan bulan saya boleh mengambil cuti bersalin tiga bulan daripada tempat pekerjaan pangsapuri lima tingkat yang tidak berlif.

Artikel Berkaitan:

Masalahnya, macam mana saya nak ‘pencen’ daripada menduduki unit flat saya yang di tingkat empat atau lima ketika hari tua saya? Di mana saya nak MC atau cuti sakit jauh dari rumah saya di tingkat atas?

Bagaimana pula saya nak bercuti bersalin dari rumah flat saya? Adakah perlu, contohnya, kita membuat kontrak yang berbunyi “saya faham yang saya membeli rumah unit tingkat empat dan berjanji tidak akan jatuh sakit, tidak akan sakit tua dan tidak akan mengandung sepanjang saya menghuni rumah ini”.

Tidakkah ini menjadi suatu bahan kelakar? Bagaimana kita sebagai sebuah negara bertamadun tidak boleh berfikir yang semua manusia akan jadi tua, semua manusia bakal sakit dan sebahagian wanita akan mengandung dengan sarat?

Prinsip utama reka bentuk seni bina adalah mereka bentuk bangunan di atas dasar keperluan fizikal pengguna. Jika itu pun tidak difahami maka pelajar tersebut perlu digagalkan.

Ada pula saya terdengar seorang pemimpin politik mengajukan bahawa untuk menyelesaikan masalah kos lif ini maka harus dibina pangsapuri 30 tingkat atau lebih supaya dapat mengelak keadaan pangsapuri rendah yang tidak ekonomi penggunaan lif.

Saya tidak berapa setuju dengan penyelesaian simplistik ini. Dalam kajian psikologi seni bina, pengkaji Barat telah mengenal pasti bahawa had ketinggian bangunan yang tidak memutuskan hubungan komuniti adalah hanya tiga tingkat.

Lebih dari tiga tingkat maka penghuni tidak lagi dapat mengenali siapa yang berlegar di aras tanah. Maka itu, isu keselamatan dari jenayah menjadi runcing dan kemesraan menegur siapa telah hilang.

Kompleks perumahan Pruitt Igoe di Amerika Syarikat menjadi kajian kes utama pengkaji psikologi hidup berkomuniti di mana pangsapuri berpuluh tingkat itu telah memenangi Anugerah Pingat Emas dari Institut Arkitek Amerika.

Tetapi selang 20 tahun, keseluruhan blok-blok pangsapuri rumah rakyat ini terpaksa dimusnahkan apabila ia menjadi sarang jenayah dan pengasingan kehidupan.

Manusia adalah suatu insan yang perlu berkomuniti dan berinteraksi untuk menyempurnakan keperluan sosial dan spiritual. Membina pangsapuri bagi hunian manusia yang berupa sarang-sarang burung adalah penyelesaian cetek perumahan berkualiti bagi rakyat Malaysia.

Apakah penyelesaian terhadap pangsapuri yang tidak berlif? Saya mengesyorkan setiap pembinaan baru Walk Up Flat perlu sekurang-kurang mempunyai satu atau dua lif yang menghubung kesemua blok kediaman.

Bagi menjimatkan kos, saya mengesyorkan penggunaan lif yang mempunyai akses terhad. Setiap warga tua, orang sakit dan wanita mengandung boleh diberikan kad akses. Kad ini akan dimatikan setelah habis bersalin atau sembuh daripada sakit.

Penghuni lain yang sihat dan muda tidak boleh mengakses lif kerana mereka tidak diberikan kad akses. Dengan cara ini kos penyelenggaraan boleh direndahkan.

Teknologi lif rangka besi yang biasa digunakan di tempat pembinaan boleh dilengkapkan kepada bangunan sedia ada yang tidak berlif. Penyelenggaraannya perlu dibuat oleh majlis tempatan dengan cara menaikkan cukai pintu.

Dengan cara itu kesemua rakyat Malaysia tidak akan risau tentang hari tua yang memerlukan mereka berpindah-randah dan wanita mengandung boleh dikurangkan peri sakitnya menaiki tangga.

* Prof Dr Mohd TajuddinMohd Rasdi ialah Pensyarah UCSI University, Kampus Cheras, Kuala Lumpur