'Pencapaian SPM luar bandar menyamai calon bandar'

No Image Caption
A
A
A

PORT DICKSON - Pencapaian calon di luar bandar dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) semakin memberangsangkan dengan peningkatan Gred Purata Sekolah (GPS) yang sangat ketara dan menyamai pencapaian GPS calon di bandar.

Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan, Datuk Pkharuddin Ghazali berkata, ini membuktikan bahawa tiada jurang perbezaan antara pencapaian calon bandar dan luar bandar, hasil daripada berkat pengorbanan guru yang mendidik dan sokongan ibu bapa serta masyarakat, sehingga meletakkan Negeri Sembilan di tahap terbaik.

"Oleh itu, kita yakin akan mencapai kedudukan nombor satu di peringkat kebangsaan dalam SPM, kerana kita mempunyai kekuatan serta anak-anak yang baik lagi cerdik untuk bersama dengan kita, bagi merealisasikan misi nombor satu ini," katanya dalam Majlis Gerakan Massa Terima Kasih Cikgu sempena sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Sembilan Kali ke-2, semalam.

Keputusan SPM Negeri Sembilan ketika ini berada dalam kedudukan kedua terbaik di peringkat kebangsaan selama tiga tahun berturut-turut.

Pada majlis yang dianjurkan Kumpulan Penggerak Ibu Bapa dan Komuniti Negeri Sembilan itu, Pkharuddin menyampaikan cenderahati kepada enam buah sekolah sebagai wakil bagi setiap daerah untuk disampaikan kepada guru yang sudah bersara dan mempunyai masalah kesihatan sebagai tanda penghargaan kepada mereka yang telah banyak berjasa kepada bidang pendidikan. - Bernama

Artikel Berkaitan: