17 orang asli Pos Tohoi peluk Islam

Seramai 17 penduduk orang asli memeluk Islam sejak Januari lalu.
A
A

GUA MUSANG - Seramai 12 masyarakat orang asli, Pos Tohoi, di sini, memeluk Islam menerusi program, Kembara Jalinan Siswa Bersama Masyarakat Orang Asli (Jasa).

Penggerak Masyarakat Orang Asli (PMOA) di Kampung Orang Asli (KOA) Pos Tohoi, Zaini Dahlan Abdul Rahman berkata, program konsisten dari Jasa setiap tahun merupakan faktor utama penerimaan masyarakat terhadap Islam.

Menurutnya, rata-rata saudara baharu mengakui mereka tertarik dengan cara, usaha dan kegigihan siswa dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam membantu mereka memahami Islam.

"Hubungan erat antara penduduk kampung bersama pelajar membuatkan mereka tidak berasa malu untuk bertanya tentang perkara-perkara yang mereka tidak tahu dan melayan mereka seperti keluarga sendiri.

"Pada Januari lalu, lima masyarakat di sini sudah memeluk Islam dan bilangannya semakin bertambah. Sehingga kini, majoriti penduduk Pos Tohoi adalah beragama Islam," katanya.

 Lafaz syahadah yang dilakukan saudara baharu.
Lafaz syahadah yang dilakukan saudara baharu.

Beliau berkata demikian selepas Program Reach (Returning Education and Continue Healing) Tohoi 1.0, di Pos Tohoi, di sini.

Jasa adalah kelab yang bernaung di bawah Pusat Jalinan dan Khidmat Masyarakat UIAM yang mana fokus utama penubuhan untuk membantu dalam pembangunan dan dakwah kepada masyarakat asli khususnya di Selangor, Pahang, Perak dan Kelantan.

Kelab ini juga membantu dalam meningkatkan taraf pendidikan kanak-kanak asli menerusi program tuisyen dengan modul-modul khas menumpukan subjek Bahasa Malaysia dan Matematik bagi pelajar darjah lima dan enam bagi menghadapi ujian UPSR.

Sementara itu, pengarah program, Ikmal Bahari Abdul Halim berkata, program Reach Tohoi 1.0 berpandukan fokus keislaman dan pendidikan menerusi pelbagai aktiviti seperti Ziarah Mahhabah, Sukan Rakyat dan Ensino.

Program ziarah masyarakat orang asli di Pos Tohoi.
Program ziarah masyarakat orang asli di Pos Tohoi.

Katanya, program ini mencapai sasaran, malah usaha gigih dari semua komiti membantu merealisasikan segala perancangan rapi yang dilakukan sebelum program.

"Kami amat mengharapkan penerimaan masyarakat di sini untuk masa akan datang yang mana lebih ramai lagi terbuka hati untuk memeluk Islam.

"Kami berusaha membantu mereka menjadi muslim yang sebenar. Pengalaman ini amat berharga buat kami seterusnya melahirkan rasa tanggungjawab untuk terus berkhidmat secara sukarela bagi membela nasib komuniti orang asli di negara ini.

"Kami juga berharap agar usaha kecil ini mendapat sokongan daripada semua pihak," katanya.