Salah informasi punca ibu bapa tak percaya vaksin

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

MELAKA - Suasana di Klinik Kesihatan Ayer Keroh begitu sesak walaupun jarum jam baru menunjukkan pukul 7.30 pagi, menunjukkan betapa orang ramai tidak melepaskan peluang untuk menggunakan kemudahan awam yang disediakan oleh kerajaan.

Sambil duduk memeluk anak lelaki saya berusia tujuh tahun yang demam, selsema dan batuk, saya memerhatikan orang-orang yang ada di sekeliling saya sehinggalah kepada seorang ibu muda yang berada di sebelah saya.

Aida (bukan nama sebenar) sedang mengendong bayinya yang sedang nyenyak tidur walaupun keadaan sekeliling agak bising. Dia kelihatan resah, di tangannya ada risalah mengenai imunisasi.

Apabila diajak berbual, Aida memberitahu penulis dia masih ragu-ragu dan tidak yakin untuk memberikan vaksin kepada bayi perempuannya yang berusia lapan bulan itu. Semuanya gara-gara membaca satu artikel di laman sosial mengenai keburukan penggunaan vaksin.

"Semasa anak saya berusia dua bulan, saya sudah tak bawa anak saya ke klinik kerana ada maklumat mengatakan vaksin boleh membawa maut, ada bahan berbahaya dan haram. Sekarang, saya masih was-was dan takut. Adakah kakak percayakan vaksin?" Aida melontarkan soalan kepada penulis.

Untuk menyakinkan ibu muda itu, saya memberitahu anak saya diberikan vaksin mengikut jadual imunisasi yang ditetapkan di dalam buku 'Rekod Kesihatan Bayi dan Kanak-kanak (0-6 Tahun)' yang disediakan Kementerian Kesihatan.

Terpengaruh maklumat salah

Aida sebenarnya bukan seorang sahaja yang bimbang serta keliru dengan keperluan vaksin untuk bayinya.

Pakar Pediatrik Hospital Pantai Ayer Keroh, Dr Hayati Jaafar menjelaskan bahawa ilmu pengetahuan dan pemahaman mengenai penggunaan vaksin yang masih rendah adalah antara faktor menyebabkan masyarakat merasa bimbang dan mudah terpengaruh dengan maklumat dan ideologi salah yang diperolehi melalui laman sosial.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata apa yang membimbangkan ialah apabila terdapat golongan anti-vaksin yang terdiri daripada kalangan profesional seperti doktor yang sudah pasti mempunyai lebih kepakaran mengenai fungsi vaksin, tetapi malangnya lebih mengecewakan lagi mereka menjadi penggalak kepada anti-vaksin.

"Apa sahaja fakta mengenai keselamatan, efikasi dan konteks agama semuanya sudah dirungkaikan sebelum ini melalui pelbagai medium. Walaupun golongan anti-vaksin ini maklum akan fakta tersebut, mereka tetap dengan kebongkakan serta kedegilan untuk tidak memilih vaksin.

"Doktor juga ada yang anti-vaksin, walhal mereka lebih faham tentang imuniti, keberkesanan dan keselamatan vaksin namun akhirnya memilih untuk menjadi anti-vaksin. Saya percaya golongan anti-vaksin sudah membuat penyelidikan tetapi mereka menjadi selektif dan bias terhadap apa yang mereka percaya," katanya.

Menurut beliau, memang menjadi etika bagi pengamal perubatan untuk bersikap telus dengan segala ubat atau vaksin yang diberikan kepada pesakit.

Mereka juga perlu memberi keterangan mengenai kesan sampingan yang mungkin berlaku terhadap kesihatan tubuh seseorang, namun itu bukanlah bermaksud ianya tidak selamat digunakan.

Pencegah penyakit terbaik

Dr Hayati berkata pemberian vaksin kepada bayi dan kanak-kanak adalah satu pencegahan penyakit yang terbaik dan berkesan dengan tujuan mencetuskan kebolehan sistem pertahanan badan bagi melawan bakteria atau virus yang menyerang tubuh setiap individu.

"Vaksin dihasilkan daripada kuman yang dimatikan atau dilemahkan. Apabila seseorang diberikan vaksin, secara semula jadi tubuh mereka akan menerima reaksi imun yang akan mencipta antibodi yang disimpan dalam 'memori' pertahanan badan dan akan digunakan ketika badan berhadapan dengan penyakit.

"Sesetengah penyakit diciptakan vaksin kerana penyakit itu tergolong dalam penyakit yang tidak boleh diubati, sangat mudah dijangkiti antara satu individu dengan individu yang lain terutamanya kanak-kanak dan komplikasinya sangat merbahaya sehingga boleh membawa maut," katanya.

Menurut Dr Hayati, hanya kanak-kanak yang menghidap penyakit tertentu seperti HIV, ‘Congenital Immune Deficiency’ atau dirawat dengan ubat steroid, ubat kanser dan radioterapi dikecualikan daripada suntikan vaksin termasuk mereka yang sedang menerima rawatan ‘immunoglobulin’ dan selepas enam bulan (rawatan immunoglobulin) barulah boleh diberikan vaksin.

Untuk rekod, pemberian suntikan vaksin imunisasi secara percuma di Malaysia sudah pun dilakukan sejak tahun 1950-an menerusi Program Imunisasi Kebangsaan yang antara lain bertujuan mencegah 12 jenis penyakit berjangkit yang disebabkan oleh bakteria dan virus tertentu.

Penyakit cegahan vaksin ialah Tibi (Tuberculosis), Hepatitis B, Difteria, Pertussis (Batuk Kokol), Tetanus, Polio, Penyakit HIB (Haemophilus Influenza Type B), Measles (Campak), Mumps (Beguk), Rubella, Penyakit Human Papillomavirus (HPV) dan Japanese Encephalitis.

Hasil program tersebut menunjukkan kesan yang amat positif apabila angka kematian kanak-kanak menurun sebanyak 85 peratus sekitar tempoh tahun 1970 hingga 2017, selain suntikan vaksin imunisasi juga berjaya membasmi penyakit cacar dan polio di seluruh dunia termasuk di Malaysia.

Bukan penyebab autisme

Dr Hayati berkata perkaitan antara vaksin terutama MMR - ‘Measles’ (Campak), ‘Mumps’ (Beguk) dan ‘Rubella’ dan autisme merupakan suatu mitos terbesar dalam bidang perubatan dan lebih malang, teori tidak tepat itu seringkali diulang oleh golongan anti-vaksin.

Menurut beliau perkara berkenaan dicetuskan oleh seorang pengkaji perubatan dari Britain, Andrew Wakefield pada 1998 yang mendakwa beliau menemui punca mengapa ramai kanak-kanak zaman kini menghidap autisme berdasarkan kajiannya melibatkan 12 orang pesakit yang mempunyai sejarah pengambilan vaksin MMR.

"Sedangkan sebahagian pesakit itu tiada masalah autisme dan ada juga yang sudah mempunyai masalah saraf sebelum mengambil vaksin MMR. Kemudian pada 2010, kajian doktor berkenaan ditarik balik kerana dia didapati menipu data dalam kajiannya," kata Dr Hayati.

Beliau berkata kegusaran lain yang menyebabkan kebanyakan golongan yang menentang penggunaan vaksin adalah kerana terdapatnya bahan aluminium dan merkuri di dalam sesetengah vaksin yang mereka dakwa boleh memberi kemudaratan kepada otak kanak-kanak.

"Misalnya merkuri dalam vaksin influenza, selepas pemerhatian dibuat tiada apa-apa masalah yang berlaku terhadap mereka yang menerimanya begitu juga aluminium dalam vaksin, walhal kandungan aluminium dalam badan jika mengambil susu ibu dan susu formula lebih tinggi berbanding daripada aluminium dalam vaksin," katanya.

Beri perlindungan

Menurut Dr Hayati, bagi memastikan imuniti kelompok di negara ini terus dikekalkan, pemberian vaksin sangat perlu diberikan kepada kanak-kanak sekali gus dapat memberi perlindungan kepada individu atau mereka yang tidak boleh menerima suntikan vaksin.

Beliau berkata justeru itu, ibu bapa yang belum memberikan vaksin kepada anak mereka dinasihatkan agar membawa kanak-kanak itu ke klinik kesihatan kerajaan atau swasta berhampiran untuk mendapatkan imunisasi mengikut jadual yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.

"Kita sentiasa terbuka untuk menjawab kemusykilan dan keraguan ibu bapa terhadap vaksin dan harapan saya agar ibu bapa faham bahawa mengambil vaksin bukan sahaja untuk kepentingan anaknya sendiri tetapi demi kepentingan anak-anak dalam sesuatu komuniti," katanya.

Jangan mudah terpengaruh

Ibu bapa seharusnya tidak mudah terpengaruh dengan golongan anti-vaksin yang berbahas mengunakan himpunan pendapat yang dicedok melalui laman sosial dan memandai-mandai menyatakan vaksin boleh mendatangkan kemudaratan kepada kanak-kanak sekali gus menolak vaksin.

Bapa seorang anak lelaki berusia tiga tahun, Mohd Qayyum Ashraf Mohd Shukor, 29, memberitahu Bernama, ibu bapa seharusnya lebih terbuka dan tidak berasa ragu-ragu terhadap penggunaan vaksin kerana fatwa di peringkat kebangsaan telah dikeluarkan dengan menyatakan bahawa vaksin yang dihasilkan di negara ini bukan haram dan telah diluluskan.

"Golongan anti-vaksin mempunyai rasa was-was yang tinggi dan berasa semua perkara perlu dibuktikan 100 peratus selamat dan bagus, barulah mereka hendak percaya. Namun agak pelik apabila, mereka mudah pula percaya kepada artikel yang ditulis golongan anti-vaksin di laman sosial.

"Mengikut keadaan dunia semasa, cuaca, corak pemakanan, kandungan makanan dan minuman, kesihatan masyarakat sekeliling serta penyakit-penyakit yang berjangkit, vaksin memang sangat perlu. Kita tidak tahu apa dan bila penyakit bakal mendatang, jadi vaksin penting untuk mencegah sebelum terjadi benda yang lebih buruk," katanya.

Bagi ibu kepada tiga orang anak, Norizah Atin, 45, masyarakat sering dimomokkan dengan fakta dan dakwaan golongan anti-vaksin yang tidak tepat sehingga mereka menjadi keliru dan percaya bahawa vaksin merupakan agenda Yahudi untuk menghancurkan umat Islam selain mempunyai kandungan yang tidak halal.

"Bagi ibu bapa yang mudah percaya, mereka akan menolak vaksin dan memilih untuk membeli produk makanan tambahan, sedangkan terang-terangan kita tahu bahawa produk tersebut tidak mematuhi kehendak kementerian dan hanya bergantung kepada testimoni pengguna yang tidak diketahui akan kebenarannya.

"Ibu bapa tidak sepatutnya mendedahkan anak mereka kepada risiko penyakit berjangkit yang dapat dicegah dengan pengambilan vaksin. Janganlah lalai dan hanya mengutamakan ego sendiri berbanding nyawa anak. Ambil iktibar dengan kes kematian (tanpa imunisasi) yang berlaku sebelum ini," katanya.

Kes di Johor

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengumumkan satu kes kematian disyaki akibat jangkitan difteria di daerah Johor Bahru pada 21 Februari 2019. Kes itu melibatkan seorang kanak-kanak lelaki berumur 2 tahun 1 bulan dan kanak-kanak itu tidak pernah menerima sebarang imunisasi sejak lahir.

Kanak-kanak itu mula mengalami demam, batuk dan bengkak tonsil pada 16 Februari 2019. Kanak-kanak itu dibawa ke unit kecemasan hospital pada 18 Februari 2019 dan meninggal dunia pada 21 Februari 2019.

Pada 2018, KKM merekodkan enam kematian akibat demam campak dengan semua kes tidak menerima imunisasi, lima kematian akibat difteria dengan empat kes tidak menerima imunisasi dan 22 kematian akibat batuk kokol dengan 19 kes tidak menerima imunisasi. - Bernama