Indahnya bahasa anak muda zaman sekarang!

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

BARU-BARU ini Merak Jalanan berkesempatan berjumpa dengan sahabat lama. Kami berjumpa di sebuah restoran mamak terkenal di Shah Alam.

Di sebelah meja Merak Jalanan, ada sekumpulan remaja lelaki dan wanita dalam lingkungan umur 17 hingga 19 tahun. Agah riuh juga berborak sampai tak hiraukan sekeliling.

Merak Jalanan tidak terganggu dengan hembusan asap vape mereka tetapi bahasa yang mereka gunakan. Boleh terkeluar tahi telinga dibuatnya. Sahabat Merak Jalanan pun hanya mampu menggelengkan kepala.

Agak menyedihkan. Apakah pengaruh media sosial menjadikan anak muda zaman kini semakin menggila. Instagram, Facebook, TikTok dan banyak lagi platform menjadikan pemikiran anak muda begitu terbuka sehingga tak sensitif.

Merak Jalanan tengok mereka ‘kecik besar kecik besar’. Cara mereka berbual sangat berbeza dengan zaman Merak Jalanan yang bersopan santun.

Kalau perkataan bodoh, haram, mak kau dan sebagainya tak lepas daripada mulut mereka. Tak sah agaknya hidup kalau tak sebut perkataan-perkataan tersebut.

Ia seakan diterima pakai dalam perbualan mereka atau ketika bergurau bersama kawan-kawan.

Masalah ini tidak boleh dibiarkan berterusan. Pepatah sendiri ada mengatakan bahasa menunjukkan bangsa. Takkan kita nak melahirkan bangsa yang kuat mencarut atau maki hamun.

Ibu bapa kena mainkan peranan. Di sinilah tanggungjawab ibu bapa untuk membentuk karakter anak masing-masing. Sejak kecil anak-anak perlu ditekankan dengan cara beradab, kata-kata yang bersopan dan sebagainya.

Kalau sudah menjadi buluh, terlalu keras untuk dilenturkan. Ia tidak ‘cool’ untuk terus menjadi ibu bapa yang kononnya ‘sporting’ membiarkan anak-anak dan kawan-kawan mereka berbahasa kasar serta bergurau lucah.

Barangkali Merak Jalanan terlalu tua untuk menghadam bahasa anak muda zaman sekarang!