Cari jalan stabil harga sawit, bukan pajak tanah: MBFM

Mohd Rasidi
Mohd Rasidi
A
A
A

KLUANG - Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) mencadangkan agar kerajaan perlu mencari jalan bagi menstabilkan serta meningkatkan harga komoditi sawit supaya pendapatan peneroka Felda lebih baik dan bukannya melalui pajakan tanah peneroka.

Naib Presidennya, Mohd Rasidi Ismail berkata, model baharu pengurusan tanah peneroka oleh Felda menerusi pajakan tanah peneroka hanya memberi manfaat kepada sebahagian peneroka yang mempunyai pendapatan rendah daripada hasil tuaian.

“Sebahagian besar jumlah peneroka mempunyai pendapatan yang lebih baik daripada harga pajakan tanah yang ditawarkan dan semestinya mereka tidak bersetuju dengan pelan pajakan yang diberikan oleh pengurusan tertinggi Felda ini.

“Saya lihat isu pelan pajakan tanah ini timbul apabila pengurusan tertinggi Felda cuba memanipulasi keadaan dengan mengaburi mata peneroka dengan memberi jaminan pendapatan mereka lebih baik apabila tanah dipajakkan,” katanya kepada Sinar Harian.

Bagaimanapun, sekiranya urusniaga ini ingin dilaksanakan, ianya perlu dilaksanakan atas dasar kefahaman dan kerelaan bebas peneroka itu sendiri dan peneroka tidak sepatutnya dipaksa untuk memajak tanah mereka kepada Felda sekiranya mereka tidak bersetuju.

Menurutnya, ini kerana hak peneroka sebagai tuan tanah adalah dilindungi oleh undang-undang kerana semua tanah peneroka Felda ini adalah tertakluk kepada Akta Penempatan Berkelompok (GSA) 1960 dan kebiasaannya tanah tersebut terdapat sekatan kepentingan dan perlu mendapat kelulusan daripada Felda dan Pihak Berkuasa Negeri terlebih dahulu sebelum boleh dipajak.

“Pengurusan Felda wajar turun padang memberi penjelasan dan kefahaman kepada peneroka tentang cadangan dan kesan perlaksanaan pajakan tanah tersebut dan biarlah peneroka membuat keputusan yang terbaik untuk diri mereka tanpa wujud paksaan atau desakan daripada pihak Felda mahupun kerajaan.

“Biarlah peneroka diberikan kebebasan sepenuhnya untuk membuat keputusan yang terbaik untuk diri mereka setelah mereka diberi kefahaman yang jelas tentang kelebihan, kebaikan dan manfaat yang mereka perolehi hasil daripada cadangan pajakan tersebut,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Pengerusi Felda, Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor dalam satu portal berita berkata, model baharu pengurusan tanah peneroka menerusi pajakan akan memberi pendapatan bulanan minimum yang lebih tinggi dan perkongsian keuntungan hasil ladang itu.

Menurutnya, Menerusi model baharu itu, Felda akan memajak semua tanah peneroka (kira-kira 400,000 hektar), melaksanakan amalan ladang terbaik, menggunakan klon benih berkualiti, untuk meningkatkan hasil pengeluaran dan mengurangkan kos operasi.

Megat Zaharuddin berkata, apabila dilaksanakan nanti, Felda akan pastikan peneroka menerima pendapatan minimum bulanan lebih tinggi daripada RM1,000 elaun sara hidup yang dibayar sekarang, selain pendapatan tambahan menerusi perkongsian hasil keuntungan.