Interpol hantar pasukan siasat serangan di Sri Lanka

Kasut dan barang peribadi milik mangsa dikumpulkan sebagai bahan bukti di Gereja St Sebastian di Negombo.
Kasut dan barang peribadi milik mangsa dikumpulkan sebagai bahan bukti di Gereja St Sebastian di Negombo.
A
A
A

LYON - PERANCIS. Pertubuhan Polis Antarabangsa (Interpol) mengerahkan pasukan penyiasat termasuk pakar dalam mengenal pasti mangsa bencana ke Sri Lanka untuk membantu pihak berkuasa tempatan susulan insiden serangan berdarah yang meragut hampir 300 nyawa di negara itu.

Keputusan itu dibuat selepas kerajaan percaya kumpulan radikal National Thowheeth Jama'ath (NTJ) mendalangi serangan tersebut dan ia sedang menyiasat sama ada terdapat bantuan pihak asing.

Menurut Interpol, ia menghantar Pasukan Tindak Balas Insiden (IRT) atas permintaan pihak berkuasa Sri Lanka termasuk pakar dalam pemeriksaan lokasi jenayah, letupan, antikeganasan dan kenal pasti mangsa.

"Jika diperlukan, pasukan pakar tambahan dalam forensik digital, biometrik dan penganalisis foto dan video juga akan dihantar untuk membantu pasukan tersebut," tambahnya lagi.

Sementara itu, Setiausaha Agung Interpol, Juergen Stock berkata, mereka akan terus memberikan segala bentuk bantuan dan sokongan yang diperlukan.

"Maklumat untuk mengenal pasti identiti individu yang ada kaitan dengan serangan ini mungkin boleh diperoleh dari seluruh dunia berdasarkan rangkaian dan pangkalan data global kami," jelasnya.

Jumlah kematian dalam serangan itu meningkat kepada sekurang-kurangnya 290 orang termasuk 39 warga asing yang disifatkan sebagai serangan terburuk dalam tempoh lebih sedekad. - AFP

Artikel Berkaitan: