Bagai bermimpi dapat rumah

Mohd Zaki Yamani (empat dari kiri) menerima replika kunci yang diserahkan Syed Nasser Hussain (tiga dari kiri) sewaktu Majlis Penyerahan Kunci Rumah Asnaf Bank Rakyat di Kampung Pasir Dula.
A
A

KAMPUNG PASIR DULA - Ramadan yang bakal menjelma tidak lama lagi tentunya lebih bermakna buat sebuah keluarga di sini, kerana dapat jalani ibadat puasa dan seterusnya sambut Aidilfitri di kediaman baharu.

Mohd Zaki Yamani Zakaria, 42, menerima sebuah rumah bernilai RM45,000 (termasuk perabot) dan kelmarin, secara rasminya dia mendudukinya sewaktu Majlis Penyerahan Kunci Rumah Asnaf Bank Rakyat.

Penyerahan disempurnakan Pengarah Wilayah Utara Bank Rakyat, Syed Nasser Hussain Syed Othman Ali dan turut dihadiri Pengurus Cawangan, Bank Rakyat Cawangan Kuala Berang, Ahmad Zaidu Batiman.

Berkongsi kegembiraan, bapa dua anak ini berkata, hanya terima kasih dapat diucapkan kepada semua yang terlibat dan dia merasakan seperti bermimpi memiliki rumah sendiri.

“Sejak mendirikan rumahtangga, saya dan isteri, Norain Farhana Abdullah, 32, tinggal di rumah emak terletak tidak berapa jauh dari rumah ini. Selain saya, empat ahli keluarga dan emak, rumah itu juga dihuni dua ahli keluarga lain.

“Sebagai ketua keluarga, memangnya jadi hasrat dan impian untuk miliki rumah sendiri, tambahan pula dua anak yang kini berusia 6 tahun serta 2 tahun kian membesar.

“Namun saya sendiri tiada jawapan bila impian itu akan tercapai atau mungkin tidak dapat jadi realiti sampai bila-bila kerana pendapatan lakukan kerja-kerja kampung tentunya tidak memungkinkan semua itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Dia berkata, bantuan rumah itu baginya adalah rezeki tidak terduga dan tambah bermakna kerana menerimanya ketika umat Islam menghitung hari menyambut kemuliaan Ramadan.

Untuk info, penyerahan rumah berserta perabot seperti sofa, set bilik tidur, meja makan televisyen serta peti sejuk dan rumah berkeluasan 30’x20 itu dibina 1 Februari lalu serta siap 15 Mac lepas.