Tong gas jadi sasaran pencuri

Bechik menunjukkan laporan polis kejadian pecah rumah yang berlaku di rumahnya di Kampung Tampok.
Bechik menunjukkan laporan polis kejadian pecah rumah yang berlaku di rumahnya di Kampung Tampok.
A
A
A

PONTIAN - "Hanya tong gas saja yang kena curi," demikian kata pemilik rumah yang dipecah masuk di Kampung Tampok, Benut di sini.

Bechik Daing Makati, 70, berkata, dia tiada di rumah ketika kejadian kerana berada di rumah saudaranya di Johor Bahru sejak tiga hari lalu.

Menurutnya, sebaik sahaja pulang kira-kira jam 2 petang kelmarin, dia terkejut melihat tingkap dapur rumahnya dikopakkan.

“Saya terus periksa dalam dan luar rumah. Barang berharga macam televisyen tak pula dicuri, tapi tong gas pula yang dilarikan. “Saya juga dapati makanan seperti mi segera dan dua tin susu pekat turut hilang.

Ini merupakan kejadian kecurian ketiga yang berlaku dalam tempoh 10 tahun di mana sebelum ini barang elektrik dan barangan dapur macam pinggan mangkuk kena curi,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Bechik turut memaklumkan, laporan polis mengenai kejadian telah pun dibuat di Balai Polis Benut, petang semalam.

Jiran mangsa yang juga pengusaha kedai makan, Jasrina Jasmani, 41, pula berkata, tong gas menjadi sasaran pencuri memandangkan ia mudah dijual kerana harganya di pasaran mencecah RM110 setong.

Katanya, dia juga mempunyai pengalaman sama seperti jirannya di mana hanya tong gas saja yang dicuri.

Artikel Berkaitan:

“Kedai makan saya pernah dipecah masuk tiga tahun lepas. Hanya tong gas sahaja yang dicuri. Pelik juga ada banyak lagi barang berharga seperti peti ais, televisyen, periuk nasi tetapi tak diusik pencuri.

“Rupanya harga tong gas mahal, patutlah selalu kena kebas,” katanya.

Sementara itu, penduduk kampung, Sharizan Sabari, 41, berkata, rondaan bersama pemuda kampung dilakukan bagi mengekang gejala kecurian tong gas terutama menjelang Ramadan ini.

Katanya, alat komunikasi walkie talkie yang dibeli dengan harga RM120 bagi setiap set digunakan ketika rondaan.

“Ia dilakukan bagi memudahkan komunikasi dan kita juga melakukan rondaan bersama Rela.

“Kawasan yang terlibat dengan rondaan ialah Kampung Parit Stan, Kampung Parit Makuaseng dan Kampung Parit Tampok Darat,” katanya.