Risau gangguan air terlalu lama

Muhammad Syarifuddin sedang menadah air sebagai persediaan menghadapi gangguan bekalan air berjadual pada 24 April ini.
Muhammad Syarifuddin sedang menadah air sebagai persediaan menghadapi gangguan bekalan air berjadual pada 24 April ini.
A
A
A

SHAH ALAM - "Risau nak buat macam mana, kenalah hadap," demikian antara reaksi penduduk di sekitar kawasan yang akan mengalami gangguan bekalan air bermula pada esok, 24 April ini.

Rata-rata penduduk menyifatkan keadaan ini perlu ditangani dengan sebaik mungkin memandangkan tempoh masa gangguan bekalan air itu kelak agak lama.

Penduduk Flat PKNS, Seksyen 7, Muhammad Syarifuddin Bakri, 23, berkata buat masa ini dia cuba menyimpan air seberapa banyak yang mungkin.

"Saya tinggal di tingkat lima bersama tiga lagi rakan yang lain, kalau nak angkut air dari bawah ke atas memang penat. Jadi buat masa sekarang, saya bersama rakan serumah bergilir menyimpan air, kami tahan air guna botol mineral kosong untuk disimpan," katanya.

Katanya, perkara ini sekaligus akan menyulitkan kehidupan seharian kerana tempoh gangguan bekalan air ini agak lama.

"Bukan fikir soal nak mandi tu, tapi nak buang air kecil dan besar, kalau tak tahan siap-siap memang payah. Kalau air yang kami simpan ini tak cukup, seharusnya memang kena bersedialah," katanya.

Ahmad Arsyad berharap pihak bertanggungjawab menyelaraskan bantuan pengagihan bekalan air di kawasan yang terjejas bekalan air.
Ahmad Arsyad berharap pihak bertanggungjawab menyelaraskan bantuan pengagihan bekalan air di kawasan yang terjejas bekalan air.

Penduduk, Ahmad Arsyad Mohd Noordin,23, pula berkata pihak bertanggungjawab perlu melaraskan bantuan-bantuan terutamanya ke kawasan flat memandangkan ramai golongan warga emas di sini.

Artikel Berkaitan:

"Kawasan flat saya sewa memang ramai warga emas, saya harap pihak bertanggungjawab dapat selaraskan untuk bantuan pengagihan bekalan ke kawasan sini. Macam kami yang muda ni pun penat nak mengangkut air, tambah lagi warga emas memanglah tak larat," katanya.

Terdahulu, gangguan bekalan air sehingga 86 jam dijangka berlaku di Klang, Shah Alam, Petaling, Gombak, Kuala Lumpur, Kuala Langat dan Kuala Selangor susulan kerja-kerja penambahbaikan perkakasan kritikal sistem bekalan elektrik di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 2 (LRA SSP2) pada 24 April ini.

Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 2 (LRA SSP2)
Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 2 (LRA SSP2)

Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) Charles Santiago berkata, pelaksanaan kerja-kerja penambahbaikan oleh Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) itu perlu dibuat dengan segera untuk mencegah sebarang kerosakan atau risiko kegagalan sistem elektrik bagi mengelakkan gangguan bekalan air yang tidak terancang kepada pengguna.

Katanya, kerja-kerja penambahbaikan akan bermula dari jam 9 pagi sehingga 11 malam iaitu selama 14 jam dan akan menyebabkan henti tugas di LRA SSP2.

Difahamkan henti tugas LRA SSP2 ini akan menyebabkan gangguan bekalan air sehingga 86 jam bergantung kepada lokasi dan kedudukan pengguna dengan sebanyak 620,835 akaun atau 4,143,465 pengguna di 577 kawasan akan terkesan.