Gobind mahu penjelasan jika tiada tindakan

Gobind Singh Deo -Foto Bernama
Gobind Singh Deo -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo mahu pihak polis membuat penjelasan jika tiada sebarang tindakan diambil terhadap mana-mana pihak yang melakukan kesalahan dalam dunia siber.

Beliau berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) telah berusaha untuk membantu pihak berkuasa dalam sebarang siasatan berkaitan salah laku warga maya dan tiada kuasa untuk menangkap dan membawa pelaku jenayah ke mahkamah.

“Tidak boleh ada keadaan di mana kita dilihat berlakunya muat naik yang tidak sepatutnya, kemudian tidak ada tindakan. Bagi saya, kalau kita nak wujudkan undang-undang ia perlu efektif. Kalau ada undang-undang, kita perlu bersedia untuk menggunakan undang-undang tersebut.

“Jadi bila laporan polis dibuat, kita perlu ambil tindakan cepat. Setakat mana yang SKMM boleh lakukan, kita akan laksanakan tapi kuasa untuk tangkapan, kuasa untuk keputusan, tuduh dan sebagainya, ini di luar bidang kementerian saya. Saya fikir rakyat patut tahu soal kenapa tiada tindakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media sempena ulang tahun pertama pentadbiran kerajaan baharu di bawah Pakatan Harapan (PH) di pejabatnya di Wisma Angkasapuri, Kuala Lumpur, semalam.

Gobind ditanya mengenai peranan agensi di bawah kementeriannya, SKMM, dalam mendepani pelbagai cabaran sejak setahun lepas berkaitan media sosial dan salah laku netizen seperti menghina Nabi Muhammad SAW dan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Tegasnya, apabila ada kekangan atau tiada tindakan daripada polis dan Jabatan Peguam Negara, ia harus dimaklumkan kepada semua pihak tentang apa yang sebenarnya berlaku agar tiada gambaran seolah-olah SKMM yang tidak mengambil tindakan.

“Walhal kita sudah ambil tindakan dan saya pun tertunggu-tunggu kenapa lambat sangat ambil tindakan dan apa masalah yang berlaku,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Apabila ditanya bagaimana hendak mengimbangi antara gesaan untuk mengambil tindakan terhadap penghinaan dan kebimbangan akan dikritik rakyat mengenai hak kebebasan media dan kebebasan bersuara, Gobind berkata, buat masa ini pihak berkuasa ada pelbagai peruntukan di bawah undang-undang yang boleh digunakan seperti Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang membolehkan tindakan diambil terhadap sebarang salah laku di media sosial.

Beliau juga menegaskan bahawa kerajaan pimpinan PH komited terhadap kebebasan media, tetapi ia mempunyai batasan yang dinyatakan dengan jelas dalam undang-undang.

“Akhir-akhir ini, kita menyaksikan peningkatan kes di mana internet digunakan untuk tujuan yang boleh mengakibatkan, kalau boleh saya katakan secara terus-terang, salah guna. Kita dapati berlaku penghinaan, terdapat juga orang yang menghasut kepada kebencian, orang yang mengugut orang lain, yang juga secara terbuka menghina institusi raja. Ini sesuatu yang perlu ditangani.

“Dan di mana terdapat kesalahan dilakukan, sudah tentu tindakan undang-undang akan diambil. Kita sudah melihat bagaimana penyalahgunaan media sosial boleh membawa kepada kesan buruk di seluruh dunia. Bukan sahaja di Malaysia. Negara-negara lain juga menghadapi cabaran serupa.

“Singapura, UK (United Kingdom) dan Australia juga menggesa supaya diwujudkan lebih banyak peraturan dan sudah tentu menekankan supaya ada pertimbangan secara amat berhati-hati mengenai banyak mana kebebasan atau sokongan yang mahu kita beri apabila membabitkan media,” katanya.

Artikel Disyorkan
No Image Caption
Kerajaan PH

Wibawa Parlimen dikembalikan

No Image Caption
Kerajaan PH

Debat undang-undang, Perlembagaan semakin rancak