Mesyuarat biasa saja, kata Marzuki

No Image Caption
A
A
A

PETALING JAYA - Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Marzuki Yahya menegaskan tiada isu menggemparkan dalam Mesyuarat Khas melibatkan pimpinan parti tersebut, sebentar tadi.

Menurutnya, mesyuarat di ibu pejabat Bersatu, di sini, hanya membincangkan perihal parti dan tiada sebarang keputusan dibuat dalam mesyuarat itu.

“Ini mesyuarat biasa saja. Tiada apa masalah (berkaitan parti) pun.

“(Mesyuarat) berkisarkan parti saja. Kita tak buat apa-apa keputusan,” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat selesai.

Tambah Timbalan Menteri Luar itu, mesyuarat sebegitu hanyalah rutin biasa melibatkan pimpinan parti.

“Rutin biasa saja. Tun (Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad) akan pergi China nanti.

“Adalah amanat sikit tapi itu saja, tiada yang lebih dari itu,” ujarnya.

Malam tadi, beberapa pemimpin Bersatu hadir ke ibu pejabat parti di Petaling Jaya bagi menghadiri Mesyuarat Khas yang difahamkan dijadualkan pada saat-saat akhir.

Artikel Berkaitan:

Antara pemimpin yang hadir adalah Dr Mahathir; Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Marzuki; Ketua Armada, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Pengerusi Bersatu Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Begitupun, tiada sebarang maklumat lanjut diperoleh berhubung mesyuarat tersebut.