Malaysia-Indonesia tandatangani CBA tahun ini

Saifuddin - Foto Bernama
Saifuddin - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perjanjian Lintas Batas (CBA) di antara Malaysia dan Indonesia akan ditandatangani tahun ini susulan pembangunan ibu kota baharu Nusantara di Kalimantan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menjelaskan, kedua-dua negara kini sedang dalam proses menyemak beberapa perkara khususnya berkaitan ancaman keselamatan.

"Pertama, mesti libatkan kerjasama dua negara (dan) dalam kes ini (melibatkan) Malaysia dan Indonesia. Sekarang kita dalam fasa pembikinan (untuk) memuktamadkan perjanjian CBA.

"Dari segi carta perbatuan ‘milestone', kita jangka akan ditandatangani apabila Presiden Indonesia, Jokowi (Joko Widodo) melawat Malaysia tahun ini," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat pada Rabu..

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Roy Angau Gingkoi (GPS-Lubok Antu) yang bertanya langkah proaktif untuk meningkatkan tahap keselamatan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) dan kawasan sekitar terutama membabitkan aset penting dua negara.

Dalam pada itu Saifuddin memaklumkan, sekurang-kurangnya tiga perkara sedang dalam proses semakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) iaitu senarai pintu masuk, akses kawasan bagi rakyat kedua-dua negara serta elemen perundangan.

"Benar apabila kita buka pintu keluar masuk sempadan, ia terkait isu keselamatan, penyeludupan manusia, penyeludupan dadah, penyeludupan senjata dan ancaman keselamatan yang lain.

“Sekarang sedang dimuktamadkan dalam CBA (adalah) senarai pintu masuk sedia ada, yang diwartakan dan kemungkinan pintu masuk baharu yang mesti dipersetujui (kedua-dua negara).

“Kedua, kita juga telah bersetuju antara kedua-dua negara untuk memuktamadkan kawasan akses bagi rakyat, sebab apabila pintu masuk dibuka, aliran keluar masuk rakyat dua negara ini akan berlaku. Di situ nanti (ada) potensi berlaku, kalau tidak berhati-hati ada unsur pelanggaran atau ancaman,” katanya.

Selain itu katanya, KDN juga sedang melakukan semakan terhadap elemen perundangan khususnya bagi menjamin keselamatan negara secara menyeluruh.