Pelihara kuda jadi terapi rakyat Kelantan

Noorisyam memberikan ruang untuk kudanya bernama Sabiq mengenali pasangan bersama kuda betina sebelum melakukan proses pembiakbakaan kudanya di Kubang Kerian di sini. Foto: Bernama
A
A

KOTA BHARU - Memelihara atau menternak kuda adalah sebahagian daripada tradisi rakyat Kelantan.

Ada yang menjadikan hobi itu sebagai 'suka-suka', tidak kurang juga yang menjadikannya sebagai satu perniagaan yang menguntungkan.

Bagi pemilik kuda kacukan Kelantan, Noorisyam Mahmod, 46, memiliki kuda adalah satu keistimewaan kerana mampu menjadi terapi minda kepada pemiliknya.

Katanya, perasaan itu dirasainya selepas memelihara seekor kuda yang diberi nama Sabiq yang dibeli dengan harga RM5,000 pada 10 tahun lepas.

"Pada saya harganya agak mahal ketika itu tetapi saya memutuskan membeli Sabiq kerana tertarik dengan warna bulunya selain badannya yang tinggi dan tegap.

"Saya berikannya nama Sabiq yang bermaksud yang paling hadapan dengan harapan 'dia' akan sentiasa di hadapan dalam apa jua pertandingan," katanya ketika ditemui di Kubang Kerian di sini, hari ini.

Noorisyam berkata perasaan kasih kepada Sabiq kian menebal dari sehari ke sehari dan kehadiran Sabiq menceriakan hidupnya.

"Kepenatan kerja sebagai penjawat awam dirasakan berkurangan setiap kali dapat membelai Sabiq. Dia seolah memahami percakapan kita dan akan datang menghampiri saya bila namanya dipanggil. Itu satu kepuasan yang menyeronokkan bagi saya," katanya.

Bapa kepada empat anak itu berkata beliau menghabiskan masa sekurang-kurangnya tiga jam setiap hari bersama Sabiq bagi memastikan kuda kesayangannya berada dalam keadaan baik dan sihat.

Katanya keputusannya membeli Sabiq tepat apabila kuda itu sering menjuarai perlumbaan dan pertandingan kuda cantik di beberapa negeri sejak usianya tiga tahun.

Menurut Noorisyam kenalannya juga bertambah ramai kerana sering menyertai pelbagai pertandingan bersama Sabiq.

"Kebanyakan pemilik kuda mengenali saya dengan panggilan 'Poksan Sabiq'. Bagi saya nama itu satu kombinasi yang sangat menyenangkan kerana mampu ingatkan saya kepada Sabiq sentiasa," katanya.

Bagi memastikan kelangsungan baka Sabiq, Noorisyam telah melakukan pembiakbakaan kudanya bersama pelbagai jenis kuda betina dan sehingga kini Sabiq telah mempunyai 20 ekor anak.

Katanya Sabiq kini telah direhatkan daripada menyertai sebarang acara perlumbaan berikutan kecederaan yang dialaminya selain faktor usianya yang kini mencecah 10 tahun.

"Saya harap Sabiq dapat hidup lebih lama. Memang Sabiq telah mempunyai baka yang agak ramai namun tidak akan sama sepenuhnya seperti Sabiq," katanya.

Mengakhiri perbualannya, Noorisyam berkata beliau mempunyai hasrat untuk mengembangkan minatnya dengan memelihara lebih banyak kuda selain menyediakan proses pembiakbakaan pada masa hadapan. - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia