'Sekolah setakat darjah enam, saya tak tipu tiada sijil': Tosrin

Tosrin Jarvanthi - Foto Bernama
Tosrin Jarvanthi - Foto Bernama
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Walaupun hanya mendapat pendidikan sehingga darjah enam, Tosrin Jarvanthi tidak pernah menjadikan ini satu kekurangan malah sebagai pembakar semangat untuk beliau melaksanakan tugas sebagai wakil rakyat selama ini.

Pengerusi Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar Johor yang baharu itu mencuri perhatian media apabila mengakui dirinya hanya mempunyai kelayakan pendidikan setakat darjah enam.

Bagaimanapun, veteran politik itu bukanlah orang baharu dalam pentadbiran, malah pernah menjadi ADUN Sedili sebelum sekali lagi memegang kerusi ADUN bagi Bukit Permai dengan tiket parti berbeza.

Tosrin turut menegaskan latar belakang itu tidak sesekali akan mematahkan semangatnya untuk menggalas tanggungjawab yang diamanahkan kerajaan negeri demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat Johor.

"Saya cakap terus terang, saya tak tipu saya tiada sijil, tiada diploma saya hanya bersekolah setakat darjah enam sahaja di Sekolah Kebangsaan Ladang Fraser dan di Sekolah Kebangsaan Pengkalan Rinting.

"(Bagaimanapun) saya menganggap saya muda lagi dan sebelum ini, ada sebahagian pegawai saya yang muda, tidak terkejar dengan cara saya (cara bekerja)," katanya ketika ditemui pemberita selepas sidang media sempena pelantikan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) di pejabat Menteri Besar di sini hari ini.

Sebagai bukti, beliau telah pun menyediakan satu rangka kerja di bawah portfolionya untuk memastikan beliau dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

Tosrin, 69, pernah berkhidmat sebagai Pegawai Khas kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri.- Bernama

Artikel Berkaitan: