Terengganu fokus pemulihan dadah

Mohd Nor berucap sempena Majlis Anugerah Motivasi Dalam Kepulihan Dadah 2019 di sini hari ini.
Mohd Nor berucap sempena Majlis Anugerah Motivasi Dalam Kepulihan Dadah 2019 di sini hari ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri akan memberikan komitmen terhadap usaha pusat pemulihan dadah persendirian dalam memulihkan penagih dadah di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, kerajaan negeri tidak mengejar ‘rating’ terbaik dalam statistik penagih sebaliknya memberi fokus terhadap usaha pemulihan dilakukan oleh semua peringkat.

“Berdasarkan statistik, Terengganu berada di tangga kelapan jumlah penagih teramai. Ia adalah angka yang harus dipandang serius dan kerajaan serius dalam menangani masalah penagihan dadah dalam kalangan rakyat negeri ini.

“Kita tidak mengambil kira kedudukan tertinggi atau rendah, sebaliknya kita memberi fokus terhadap usaha pemulihan dan pencegahan secara berterusan,” katanya.

Mohd Nor berkata, sebanyak empat buah pusat pemulihan dadah persendirian yang telah beroperasi sejak sekian lama dan telah mengeluarkan kos yang banyak dalam memulihkan individu yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

Antara pusat pemulihan itu ialah Rumah Rakan Islah di Bari Besar Setiu; Cakna Komuniti di Ajil, Hulu Terengganu; Madrasah Khairul Insan (HATI) Jenagor Kuala Berang, Hulu Terengganu dan Pondok Remaja Inabah di Sungai Ikan, di sini.

“Kita menyanjung tinggi usaha pihak persendirian mendirikan pusat pemulihan dadah kerana ia perlu bagi mengembalikan semula bekas penagih kepada kehidupan biasa.

"Kita juga akan memberikan komitmen untuk bersama walaupun kemungkinan kerajaan tidak dapat memberi sumbangan kewangan yang cukup, tetapi kita akan membantu dan memberikan kerjasama," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Anugerah Motivasi Dalam Kepulihan Dadah 2019 di sini, hari ini.

Dalam perkembangan sama, katanya, kerajaan negeri sedang mempertimbangkan untuk menggunakan Bekas Kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) Cenderawasih Cador, Marang sebagai pusat pemulihan penagih dadah secara holistik pertama di Terengganu bermula 2020.

“Pusat itu dibina di atas tanah kerajaan dan kita kini sedang dalam proses mengambil alih tanah tersebut untuk menempatkan pusat pemulihan penagih dadah secara holistik yang pertama di negeri ini.

“Setakat ini, modul pelaksanaan pusat berkenaan telah siap 90 peratus,” katanya.