AirAsia tawar 62 penerbangan tambahan sempena Aidilfitri

Anthony (kanan) bersama timbalannya, Datuk Hasbi Habibollah (dua, kanan) pada majlis Pengumuman Tambang Tetap AirAsia ke Sabah dan Sarawak sempena sambutan Aidilfitri di Airasia RedQ pada Selasa. - Foto Bernama
Anthony (kanan) bersama timbalannya, Datuk Hasbi Habibollah (dua, kanan) pada majlis Pengumuman Tambang Tetap AirAsia ke Sabah dan Sarawak sempena sambutan Aidilfitri di Airasia RedQ pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

SYARIKAT penerbangan tambang rendah, AirAsia menawarkan 62 penerbangan tambahan pada tambang tetap ke tujuh destinasi di Sabah dan Sarawak bermula 19 hingga 30 April ini sempena Aildilfitri.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, harga tiket ditawarkan ialah RM199 sehala bagi penerbangan dari Kuala Lumpur atau Johor Bahru ke Kuching, Sibu, Bintulu serta Miri; dan RM249 sehala dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu dan Tawau, serta Johor Bahru ke Kota Kinabalu.

"Jumlah tempat duduk tersedia ialah 11,400,” katanya pada sidang media di sini pada Selasa, selain menambah tempahan boleh dibuat bermula hari ini hingga 30 April ini untuk perjalanan bermula 19 hingga 21 April dan 20 hingga 30 April ini.

Anthony berharap syarikat penerbangan lain mencontohi langkah AirAsia khususnya semasa tempoh perayaan bagi membolehkan lebih ramai perantau pulang ke kampung halaman untuk meraikan Aidilfitri bersama keluarga.

Mengenai pencarian pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH370, Anthony berkata, operasi pencarian akan dimulakan sekiranya terdapat bukti baharu yang dikemukakan kepada kerajaan.

"Kalau ada bukti baharu, sudah tentu usaha pencarian akan dimulakan segera,” katanya.

Pada 8 Mac 2014, pesawat MH370 itu hilang daripada radar kira-kira dua jam selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur menuju ke Beijing.

Susulan itu, operasi mencari secara besar-besaran membabitkan beberapa negara dijalankan di kawasan berkeluasan berjuta kilometer persegi di selatan Lautan Hindi, namun pesawat MH370 atau bangkainya gagal ditemukan.

Mengenai langkah mitigasi ekoran perkhidmatan aerotrain di KLIA dihentikan sementara pada 2 Mac atas faktor keselamatan susulan insiden aerotrain terkandas sehari sebelum itu, Anthony berkata, perkhidmatan bas pengantara antara bangunan terminal utama dan bangunan satelit telah dipertingkatkan. - Bernama